Khamis, 16 Oktober 2014 | 8:02pm

Google lancar Nexus baharu, Android 'Lollipop'

SAN FRANCISCO: Google melancarkan varian lebih besar dan mahal telefon pintar dan tablet Nexus bagi menarik perhatian pengguna lebih mewah yang dipercayai membeli setiap generasi baharu iPhone dan iPad keluaran Apple Inc.

Google juga melancarkan peranti penstriman video dan muzik baharu, Nexus Player untuk bersaing dengan beberapa keluaran syarikat lain terutama Apple TV dan Roku.

Barisan produk baharu yang diumumkan malam tadi adalah langkah terbaharu dipersembahkan Google untuk meningkatkan daya saingnya kepada Apple dalam segmen pasaran peranti mudah alih.

Sistem operasi (OS) Google Android dan Apple iOS kini adalah perisian yang paling banyak digunakan telefon pintar dan tablet dunia.

Produk baharu Nexus berkenaan yang dijadual berada di pasaran bulan depan, akan turut bersaing dengan pelbagai model telefon pintar dan tablet lain yang menggunakan OS percuma, Android termasuk peranti pintar popular keluaran Samsung Electronics.

Kedua-dua peranti Nexus berkenaan akan menggunakan OS Android versi terkini. Perisian terbaharu itu dikenali "Lollipop".


MEMPERKENALKAN Nexus 9 dan Nexus 6, dikuasakan oleh Android Lollipop. - Foto Google

Pelancaran produk baharu Google malam tadi adalah sehari sebelum Apple yang dikatakan akan membuat pelancaran versi baharu iPad, peranti yang sudah mengubah pasaran tablet sejak dilancarkan pada 2010.

Tablet terbaharu Nexus 9, dikilang oleh HTC, datang dengan skrin sembilan inci, dua inci lebih besar berbanding versi sebelum ini. Peranti itu dibangunkan dengan kos lebih tinggi, justeru dijangka dijual pada harga dari AS$399 (RM1,306), 74 peratus lebih mahal. Bagaimanapun, harga itu adalah AS$100 (RM327.36) lebih rendah berbanding harga asas iPad Air dengan skrin 10 inci.

Telefon pintar baharu Google pula dikenali Nexus 6, ditampilkan dengan skrin 6-inci, lebih besar daripada paparan 5.5 inci iPhone 6 Plus yang mula dijual bulan lalu.

Nexus 6 akan dijual pada harga dari AS$649 (RM2,124) tanpa kontrak. Harga itu adalah AS$300 (RM982) lebih mahal daripada Nexus 5 dengan skrin 5-inci.

Peningkatan ketara harga adalah perubahan strategik bagi Google untuk 'mencuri' lebih ramai pelanggan Apple yang mampu membayar untuk peranti canggih, walaupun harganya tinggi berbanding yang lain.

Sehubungan itu, Google menyasarkan siri telefon pintar dan tablet Nexus untuk kumpulan mewah manakala bagi pelanggan yang mementingkan bajet, peranti pintar siri Android One pada harga sekitar AS$100 (RM327) tersedia untuk mereka. Buat permulaan, Android One sudah dilancarkan di India bulan lalu.

Pra-tempahan untuk Nexus 9 dan Nexus Player dibuka esok sebelum mula dijual di gedung pada 3 November. - AP

Berita Harian X