Sabtu, 30 Januari 2016 | 8:08am
FIRMA Honeywell International Inc, menjadi syarikat global pertama menubuhkan ibu pejabat serantaunya di Malaysia. - Foto EPA

Firma Fortune 100, Honeywell buka pejabat serantau

KUALA LUMPUR: Firma Fortune 100, Honeywell International Inc, menjadi syarikat global pertama menubuhkan ibu pejabat serantaunya di Malaysia di bawah inisiatif Hab Prinsipal yang diperkenalkan, Mei lalu.

Di bawah inisiatif Hab Prinsipal, Honeywell akan menyusun sumbernya dengan lebih baik, sekali gus menyokong rancangan pengembangannya di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Penubuhan ibu pejabat serantau membolehkan syarikat itu yang beroperasi di Malaysia sejak 30 tahun lalu, memindahkan pelbagai teknologi baharu yang bakal dimanfaatkan oleh rakyat negara ini.

Honeywell bergiat dalam sektor teknologi aeroangkasa, binaan dan bahan khas perindustrian.

Presiden Honeywell Asia Tenggara, Jim Bujold, berkata keputusan membuka ibu pejabat serantau di Malaysia akan membabitkan pelaburan baharu bagi membangunkan kumpulan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam kalangan rakyat tempatan.

"Pelaburan baharu akan ditumpukan kepada pengambilan pekerja memandangkan Honeywell sedang dalam pusingan pengembangan perniagaan pada masa ini dan ia dilakukan kerana kami akan berada di sini untuk jangka masa panjang," katanya pada sidang media mengumumkan pelaburan Honeywell di dalam Hab Prinsipal di sini, semalam.

Majlis dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan, selain Charge d'affaires Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Edward Kagan; Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tan Sri Amirsham A Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Zainal Amanshah.

Bujold bagaimanapun berkata, nilai pelaburan dan jumlah pengambilan pekerja hanya akan diumumkan menerusi kenyataan oleh syarikat induknya dalam masa terdekat ini.

Sejak ditubuhkan di Malaysia pada 1985, Honeywell sudah melabur AS$100 juta dan kini mempunyai 1,500 kakitangan.

Operasinya di Malaysia tertumpu kepada penyelesaian syarikat penerbangan serantau, termasuk Malaysia Airlines dan AirAsia. Ia mempunyai pejabat di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Pulau Pinang, Kemaman dan Johor Bahru.

Ditanya mengenai pemilihan Malaysia sebagai ibu pejabat serantau, Bujold berkata kerjasama, keterbukaan dan sokongan kukuh kerajaan menjadi antara faktor pertimbangan dibuat oleh Honeywell.

Hab Prinsipal yang berkuatkuasa 1 Mei tahun lalu, menyokong sepenuhnya MNC tempatan dan asing dalam dagangan luar pesisir masing-masing.

Berita Harian X