Sabtu, 30 Januari 2016 | 12:00am

Berpeluh kerana patin tempoyak


IKAN patin masak tempoyak. - Foto Zunnur Al Shafiq

Bagi masyarakat Melayu umumnya dan orang Pahang khasnya, menggemari dan menikmati ikan patin masak tempoyak bagaikan kemestian, terutama yang bercampur tempoyak.

Memang tidak dapat dinafikan, jika kena cara masak dan menggunakan patin buah asli, rasa hidangan itu sangat enak dan tidak keterlaluan ada yang sanggup menghirup kuah tempoyak hingga licin gara-gara kelazatannya!

Namun, sekiranya patin buah masak tempoyak turut menjadi kegilaan kepada pelancong asing, terutamanya dari Eropah, memang sangat janggal kedengarannya kerana umum mengetahui, mereka tidak menggemari masakan pedas, lebih-lebih lagi bahan asas yang digunakan adalah buah durian, apabila sebilangan besar pengembara dari Barat, tidak suka kepada bau durian yang 'menyengat' hidung itu.

Hakikatnya memang begitu apabila pelancong Barat bertandang ke Restoran Ana Patin House di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, mereka amat teruja dan mengagumi kelazatan masakan tradisional dari negeri Pahang itu.

Ternyata mereka bersedia membelakangi rasa pedas masakan itu dan selamba saja menghirup kuah tempoyak berkenaan.


PENGURUS Restoran Ana Patin House, Puteri Nur Azureen. - Foto Zunnur Al Shafiq

Tauke sendiri yang masak

Itulah penangan patin masak tempoyak resipi istimewa daripada Datin Rohana Ismail, tuan punya restoran yang turut bertindak sebagai tukang masak utama.

Pengurus Restoran Ana Patin House, Puteri Nur Azureen, 24, anak sulung kepada Rohana atau lebih mesra dengan panggilan Datin Ana, berkata ibunya berasal dari Kampung Buntot Pulau, Temerloh, Pahang dan keistimewaan hidangan tradisional Pahang itu adalah resipi turun temurun keluarga mereka.

Lebih menarik Ana mahupun Puteri tidak menggajikan orang lain sebagai tukang masak, sebaliknya mereka sendiri yang menyinsing lengan turun ke dapur menyediakan menu utama iaitu patin buah masak tempoyak yang dikategorikan hidangan istimewa restoran berkenaan.

Katanya, mereka hanya menggunakan ikan patin segar dan tempoyak berkualiti dalam setiap hidangan.

Setiap sajian dimasak dalam kuantiti yang sedikit, namun tidak pernah putus bekalan sepanjang tempoh operasi.


PUTERI Nur Azureen menunjukkan antara hidangan yang terdapat di Restoran Ana Patin House. - Foto Zunnur Al Shafiq

Apabila hidangan habis, permintaan pula berterusan, baharu mereka menyediakan masakan lain, ertinya, apabila habis, masak yang baharu.

Justeru, hidangan patin masak tempoyak di restoran mereka sentiasa segar.

'Little Pahang in Kuala Lumpur'

Lazimnya, Ana akan masak pada waktu pagi, manakala Puteri mengambil alih tempat ibunya pada sebelah petang.

Dalam sehari, mereka memerlukan kira-kira 80 hingga 90 ekor ikan patin untuk memenuhi permintaan pelanggan.

"Patin buah masak tempoyak bukan saja digemari warga kota di Lembah Klang, malah pelancong asing yang rata-ratanya dari Eropah turut menyukai hidangan istimewa ini.


PELANCONG dari Itali mengagumi keenakan masakan Melayu.

"Menariknya pelancong Eropah ini tidak kisah dengan rasa pedas kuah dan aroma tempoyak. Berpeluh-peluh mereka makan!" kata Puteri.

Katanya, generasi muda di kawasan bandar, diberi pendedahan mengenai masakan tradisional Melayu dan tak perlu lagi pergi jauh sampai ke Temerloh atau Kuantan, Pahang mencari patin buah masak tempoyak.

"Di restoran kami, mereka boleh kenal ulam-ulaman seperti kulat sisir dan rebung perut, selain sajian ikan sungai seperti kelah, baung dan gerahak yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan restoran kami.

"Sekurang-kurangnya saya ingin memperkenalkan 'Little Pahang in Kuala Lumpur' di Restoran Ana Patin House!," kata Puteri yang berkelulusan dalam bidang seni bina sebuah universiti di London.

Menu utama

  • Patin buah masak tempoyak
  • Pais patin (patin bakar sos tempoyak)
  • Ikan kerai goreng
  • Udang galah goreng mentega
  • Udang galah goreng berlada

  • PELANGGAN menjamu selera di Restoran Ana Patin House. - Foto Zunnur Al Shafiq

    Info: Restoran Ana Patin House
    # Alamat: No 50-1, Jalan PJU 7/16, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor
    # No telefon: 03 7733 7377
    # Emel: anapatinhouse@yahoo.com
    # Facebook (FB): facebook.com/anapatinhousepage
    # Instagram (IG): ana_patinhouse
    # Waktu perniagaan: 11 pagi hingga 7 malam (tutup setiap Isnin)

Berita Harian X