Jumaat, 29 Januari 2016 | 7:46am

Industri padi perlu inovasi, teknologi baharu

BUKAN sesuatu yang pelik dengan masyarakat kita ke mana juga mereka pergi sama ada di dalam dan luar negara mereka tetap cari nasi. Pernah ketika berada di sebuah restoran makanan segera, seorang teman saya tetap memesan nasi.

Ternyata beras ataupun padi tetap jadi keutamaan negara walaupun, ladang kelapa sawit semakin menjadi rebutan ramai peladang kerana pendapatan lebih baik.

Kerajaan kini membelanjakan beratus juta ringgit setiap musim untuk mengeluarkan subsidi padi kepada petani kita. Selain pemberian baja dan racun kepada kira-kira 1.2 juta hektar padi di seluruh negara, penanam padi juga menerima subsidi tunai. Walaupun ada rungutan mengenai pemotongan subsidi berkenaan, petani tetap bersyukur dengan kenaikan RM300 setiap satu tan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2016.

Namun, di sebalik subsidi kerajaan, hasil padi negara masih amat rendah dibandingkan negara jiran, terutama Thailand dan Indonesia. Lebih pelik lagi, rakyat Amerika Syarikat yang tidak makan nasi, tetapi negara berkenaan menjadi pengeluar beras kelima terbesar di dunia.

Pengeluaran jauh lebih rendah

Pelbagai kempen dan saranan yang telah dan sedang dilakukan kerajaan melalui kementerian berkenaan bagi meningkatkan hasil padi, bahkan ada pemimpin melahirkan rasa dukacita dengan pengeluaran padi kita yang menerima subsidi jauh lebih rendah daripada mereka yang tidak menerima bantuan sepenuhnya.

Tidak dapat dibayangkan jika suatu hari nanti, kerajaan tidak lagi mampu beri subsidi kepada penanam padi. Lihat sahaja dengan nasib ladang getah yang jatuh merudum akhir-akhir ini. Pengusaha penanaman padi, terutama sekali di Semenanjung adalah secara komersial berbanding sektor lain, iaitu padi ditanam dua musim setahun.

Penanaman padi secara komersial di Semenanjung bertumpu di Sungai Muda dan Sungai Merbok di Kedah dan Perlis (MADA) dan kawasan lembah sungai di Kelantan (KADA) dan Terengganu. Kaedah penanaman padi basah di negara kita diperkenalkan orang Thailand (Siam) dan dibawa ke utara Semenanjung. Pembentukan masyarakat di Utara dan Selatan Semenanjung banyak dipengaruhi kaedah ini menjadikannya sumber penting pemakanan ruji penduduk Malaysia.

Namun demikian, pembandingan carta hasil padi negara kita adalah jauh lebih rendah berbanding dengan jiran seperti Thailand dan Indonesia. Sikap dan minda pengusaha padi tempatan yang tidak peka serta tidak berani mencuba kaedah baharu untuk pertingkat hasil padi.

Petani kita masih amal kaedah lama iaitu membakar jerami padi selepas menuai yang sangat bahaya kepada pengguna jalan raya disebabkan asap tebal itu adalah jerebu seperti selalu kita salahkan pihak lain kerana membakar hutan secara terbuka.

Tentu jerebu menjadi punca masalah kesihatan serta pencemaran alam, hingga indeks pencemaran udara mencecah lebih 300 bacaan kerana pembakaran kepada sehektar jerami padi akan melepaskan sebanyak 12,950 kilogram (kg) karbon diokside (CO2) ke udara, menurut kajian negara jiran.

Kaedah membakar ini juga merosakkan nutrien pada tanah sawah padi atau bendang menjadi keras dan hilang kesuburan semula jadi hinggakan, kerajaan terpaksa menanggung subsidi besar ketika membiayai baja dan ubat kepada petani padi supaya dapat menghasilkan beras yang mampu untuk menampung permintaan makanan ruji ini.

Terpaksa import sumber makanan

Justeru, negara kita terpaksa import makanan dari luar negara dan membelanjakan RM30 bilion setahun. Beras adalah jumlah tertinggi dibelanjakan berbanding makanan lain ketika ekonomi dan pertukaran mata wang ringgit kita lemah lebih membebankan kerajaan dan rakyat.

Kini, di pasaran tempatan sudah ada teknologi baharu yang berupaya menghuraikan jerami padi dalam masa kurang tujuh hari termasuk benih padi liar.

Berdasarkan kajian menggunakan air organik ini petani sawah padi akan dapat baja organik atau kompos sebanyak enam tan sehektar daripada jerami padi yang reput pada sawah mereka. Apabila struktur tanah sawah padi dibaik pulih, ia akan meringankan kerja membajak kerana tiada akar.

Jerami padi sentiasa melekat pada dis mesin membajak lalu menjimat masa, tenaga dan kos. Kaedah baharu itu juga mampu hidupkan nutrien dan kesuburan struktur tanah serta membawa hasil yang meningkat. Ia juga selaras dengan satu inovasi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bagi memajukan langkah untuk prospektif baharu.

Petani seharusnya berterima kasih kepada kerajaan kita yang sentiasa prihatin, membantu mereka, proaktif dan mengambil inisiatif untuk memberi sumber terbaik kepada petani khususnya petani padi. Pada masa yang sama memantau setiap subsidi yang dikeluarkan bagi mengelak tidak berlaku penyalahgunaan subsidi kerajaan. Pemberian subsidi adalah bagi memastikan pengeluaran petani terus maju.

Kerajaan beruntung kerana kewujudan pertubuhan peladang di setiap kawasan di negara ini mampu membantu melaksanakan dasar terutama dalam sektor pertanian. Akhir kata, saya sangat berharap agar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggerakkan langkah menyelesaikan permasalahan padi negara.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X