Jumaat, 29 Januari 2016 | 12:02am

Padah mahu kulit cerah

APAKAH cara paling tepat mengetahui produk pemutihan yang sesuai dengan jenis kulit. Saya pernah cuba produk pemutihan dalam bentuk krim, pada mulanya hasilnya menakjubkan iaitu kulit cerah dan sekata.

Bagaimanapun, jerawat halus dan kulit nampak kusam kelihatan selepas enam bulan menggunakannya. Adakah produk ini tidak sesuai untuk kulit saya?

Monique Maleq
Putrajaya, Kuala Lumpur

Jawapan:

Untuk mendapatkan kulit lebih cerah, tidak ada teknik `segera'. Sebagai pengguna harus curiga jika sesuatu produk mampu mencerahkan kulit dalam jangka masa yang singkat.

Krim pemutih adalah campuran bahan kimia yang boleh menyebabkan wajah lebih pucat. Dalam jangka masa lama krim itu dapat menghilangkan atau mengurangkan hiperpigmentasi pada kulit.

Bagaimanapun, penggunaan secara berterusan menyebabkan pigmentasi kekal pada wajah. Di pasaran terbuka, ada produk tiruan dijual pada harga murah mungkin boleh memberi kesan positif tetapi kemudian menghakis lapisan kulit.

Ada pelbagai jenis krim pemutih di pasaran dan kandungan yang dibenarkan untuk memutihkan kulit ialah pati soya, vitamin C, vitamin E, albutin, asid kojik, liquorice dan mulberry.

Kandungan ini dibenarkan untuk krim pemutih yang dijual di farmasi atau kaunter kosmetik saja. Krim pemutih yang dibenarkan di kebanyakan klinik aestetik dan klinik pakar kulit hanya mengandungi dua hingga empat peratus hidrokuinon dan 0.025 sehingga 0.1 peratus tretinoin saja dan selebihnya adalah berbahaya.

Ada kesan sampingan

Boleh dikatakan, hampir semua krim pemutih dijual di pasaran terbuka mengandungi ajen pemutih seperti hydrokuinon dan tretinoin pada paras kandungan yang tinggi kononnya mampu membantu mendapatkan hasil menakjubkan dalam jangka masa singkat.

Penggunaan produk kosmetik yang mengandungi hidrokuinon melebihi empat peratus dilaporkan memberi kesan sampingan seperti radang dan rasa panas pada kulit.

Hidrokuinon adalah zat reduktor yang mudah larut dalam air dan lazim digunakan dalam proses mencuci foto cetak. Bahan ini sangat berbahaya walaupun ia berfungsi menjadikan kulit cerah dalam tempoh singkat.

Lama-kelamaan, ia akan mendap di bawah kulit sehingga bertahuntahun dan akhirnya kulit bertukar biru kehitaman, lebih buruk akan menyebabkan kanser kulit.

Pada tahun 2006, Pentadbiran Makanan dan Ubatubatan (FDA), di Amerika syarikat melarang semua produk kosmetik mengandungi hidrokuinon kerana dianggap ubatubatan dan hanya boleh dibeli di bawah pengawasan doktor saja manakala di Indonesia, larangan itu mula berkuatkuasa pada tahun 2008 dan di Filipina pula pada awal tahun 2009.

Di Malaysia, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan tidak mendaftarkan kosmetik mengandungi hidrokuinon. Ia diklasifikasikan sebagai produk tidak berdaftar. Hidrokuinon mampu memberi hasil yang luar biasa dalam pembentukan melanin menjadikannya bahan kosmetik popular untuk pencerahan kulit dan diberi nama timangan miracle cream. Ahli dermatologi beranggapan hidrokuinon paling berkesan apabila digunakan empat hingga 10 peratus sehingga menjadi satu-satunya pencerah kulit yang dipersetujui FDA selama 20 tahun.

FDA haramkan

Menyedari bahan ini memudaratkan, ia di haramkan oleh FDA dan kini hanya di bawah empat peratus saja dibenarkan di bawah pengawasan doktor. Kandungan yang tidak terkawal yang dijual di pasaran ini boleh memberi kesan sampingan berkekalan seperti alahan yang teruk, jeragat degil (tompok hitam di dalam lapisan kulit atau biji seperti ketumbuhan kecil pada kulit) dan jerawat. Ia juga menjadikan kulit lebih sensitif apabila terkena sinar matahari.

Kulit yang menghadapi masalah selepas menggunakan produk yang tidak diiktiraf boleh dirawat, tetapi mengambil masa dan bergantung kepada kulit individu. Jika ada masalah selepas penggunaan produk pemutihan dinasihatkan berhenti menggunakannya dengan serta-merta dan segera berjumpa doktor.

Sebelum rawatan diberikan, dinasihatkan berhenti menggunakan produk sedia ada selama sebulan sebelum proses rawatan dilakukan. Wanita dinasihatkan untuk tidak terburu-buru menggunakan produk pemutih disebabkan ingin kulit cerah tanpa mendapatkan pandangan doktor terlebih dulu.

Krim pencerah sepatutnya hanya mencerahkan kulit secara keseluruhan, namun langkah pencegahan semula jadi yang perlu diambil dengan mengelak daripada terdedah terlalu lama di bawah sinaran matahari.

Ini kerana cahaya matahari mengandungi sinaran ultraungu (UV) A dan UVB yang berupaya menggelapkan kulit.

Amalkan penggunaan krim pelindung matahari mengandungi SPF 50 ke atas dan berpayung, topi dan penapis sinaran yang berkualiti pada cermin tingkap kereta mampu menghalang sinaran UV daripada menembusi kulit.

Di pasaran ada vitamin sesuai untuk kulit seperti vitamin C, vitamin E dan vitamin B yang tidak memudaratkan kulit walaupun diambil untuk jangka masa lama manakala pengambilan makanan mengandungi vitamin itu membantu melindungi kulit daripada masalah.

Berhati-hati memilih produk pemutihan kulit dan pastikan yang disyorkan doktor bertauliah.

Berita Harian X