Khamis, 28 Januari 2016 | 12:01am
STESEN angkasa China, Tianggong.
PENTADBIRAN Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sering menjadi perhatian dalam bidang teknologi angkasa berbanding agensi negara lain di seluruh dunia. - Foto AGENSI
SATELIT paling canggih Russia yang memakan masa 10 tahun untuk dibangunkan musnah selepas kegagalan pelancaran. Satelit itu adalah untuk mengimbas kapal selam musuh dan kegunaan komersial lain. - Foto AGENSI
CHINA berjaya membangunkan senjata anti satelit pada 2007, selepas ujian peluru berpandu anti satelit SC-19 untuk memusnahkan sebuah satelit cuaca China yang sudah tidak berfungsi. Teknologi itu mengancam satelit negara lain termasuk Amerika Syarikat. - Foto AGENSI

Asia lonjak aktiviti angkasa lepas


SATELIT ketenteraan tercanggih Amerika Syarikat, NROL-65 dipercayai bernilai AS$1 bilion (RM4.27 bilion). Ia mampu mengambil gambar cukup terperinci sehingga mampu menentukan jenama kereta di bumi. - Foto AGENSI

AMERIKA Syarikat dan Russia meraih paling banyak perhatian dunia dalam perlumbaan teknologi angkasa lepas, namun tidak ramai menyedari negara Asia seperti China, Jepun dan India, turut berlumba.

Tidak ramai tahu India sudah berjaya ke planet Marikh, menerusi misi pesawat angkasa saintifik Mangalyaan yang di hantar negara itu untuk mengorbit planet merah terbabit. Rakyat India percaya negara mereka mengalah China.

Sejak China menerbangkan manusia kali pertama pada 2003 dan mengancam menjalankan ujian anti-satelit pada 2007, Asia menyaksikan lonjakan aktiviti angkasa.

Ia dapat dilihat menerusi lonjakan bajet teknologi angkasa di beberapa negara rantau itu. Walaupun tidak ramai pegawai rasmi mengakuinya, satu perlumbaan ke angkasa sedang meningkat di Asia.

Pendorong utama minat baharu ini adalah disebabkan persaingan serantau dan bukan minat untuk bersaing dengan Amerika Syarikat atau Russia. Peningkatan ekonomi turut menjadi faktor.

Merangsang populasi muda

Kedudukan peneraju dalam teknologi angkasa di Asia memberikan status dan kemampuan kepada kerajaan yang berkuasa dan merangsang populasi muda Asia mengkaji sains dan teknologi untuk manfaat ekonomi.

Tindak balas ke atas kebangkitan misi angkasa China menyaksikan pembabitan Jepun dan India serta negara dari Australia sehingga ke Singapura.

Korea Utara dan Korea Selatan sudah mengorbit satelit sejak tiga tahun lalu. Kedua-dua negara seteru itu turut merancang untuk membangunkan roket lebih baik.

Peningkatan aktiviti angkasa China turut membimbangkan NASA dan tentera Amerika Syarikat, begitu juga jiran negara republik itu yang seperti terasa sudah terancam. Pencapaian teknologi angkasa mempengaruhi keyakinan rakyat terhadap kerajaan di Asia.

Persoalannya, adakah persaingan ini boleh dikawal dan disalurkan ke arah lebih positif untuk memberikan kesan penting terhadap perhubungan angkasa antarabangsa pada masa depan.


JEPUN melihat status teknologi angkasa penting menyokong jenama negara itu sebagai pengeksport teknologi tinggi terkemuka dunia. Jentera penghantar H-II atau Kounotori adalah teknologi perkhidmatan di ISS bukan daripada Amerika Syarikat atau Russia.

Kemampuan saintifik Beijing

Washington menggunapakai dua strategi berdepan perkembangan ini, ia termasuk berdialog dengan Beijing dalam bidang angkasa sementara senyap-senyap memperluaskan kerjasama dengan sekutunya di Asia.

Beijing sudah lama membina kemampuan saintifik, komersil dan ketenteraan secara berperingkat sejak 1980an. Kini negara itu berada pada kedudukan baik untuk bersaing dengan mana-mana Asia termasuk Jepun.

Sejak sedekad lalu China melancarkan pesawat pemetaan Bulan (Chang'e 1), misi jentera perayau (Chang'e 2) dan mengorbit dan melawat sebuah stesen angkasa kecil (Tianggong 1).

Negara komunis itu akan membangunkan stesen lebih besar dalam tempoh sedekad lagi dan ia sedang membina tapak pelancaran baharu di Pulau Hainan dan dijangka mempunyai perangsang pelepasan berat.

Tentera China mempunyai kemampuan meletakkan aset kritikal Amerika Syarikat dalam bahaya, ia memaksa Washington berfikir dua kali mengenai kemampuan ketenteraannya yang maju.

Tokyo labur besar

Jepun sudah lama menerajui teknologi di Asia, walaupun berdepan kos tinggi pemulihan gempa bumi, tsunami dan bencana jana kuasa nuklear, negara itu tetap melabur besar dalam sains angkasa.

Selain membina pelancar baharu, Tokyo meningkatkan aktiviti kajian sains teknologi tinggi dan penerbangan manusia di angkasa serta program kajian berterusan model Kibo di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Ketika ini, jentera penghantar H-II Jepun adalah satu-satunya jentera perkhidmatan bukan dari Amerika Syarikat atau Russia yang mampu menghantar bekalan ke ISS.

Kerajaan Jepun mementingkan pencapaian bidang angkasa kerana ia mencerminkan kemampuan negara itu mengeksport teknologi canggih dan mereka juga bimbang kemampuan China akan menjatuhkan reputasi Jepun.

Selain misi ke Marikh, India mempunyai satelit pengorbit Bulan Chandrayaan 1 pada 2008 dan merancang jentera perayau Chandrayaan 2 serta melakukan rekaan program penerbangan manusia ke angkasa.


INDIA adalah negara Asia pertama berjaya menghantar misi ke Marikh selepas Amerika Syarikat, Russia dan Agensi Angkasa Eropah (ESA) menerusi kejayaan pelancaran satelit pengorbit Marikh Mangalyaan pada 2014. - Foto Agensi

Kawalan operasi New Delhi

Dalam bidang ketenteraan, New Delhi mencipta Sel Angkasa Bersepadu untuk kawalan operasi komunikasi dan pemerhatian setiap cabang ketenteraannya. India turut mempunyai satu program senjata anti satelit.

Tidak seperti Eropah yang menyaksikan negara berkuasa menyertai Agensi Angkasa Eropah (ESA) dengan bekerjasama termasuk berkongsi kos, perlumbaan angkasa Asia adalah hal negara masing-masing.

Negara Asia cenderung menjadikan misi atau program angkasa sebagai rahsia dan bersifat untuk bersaing dengan negara serantau atau negara jiran.

Masa depan perlumbaan angkasa Asia penting kepada dunia. Penghujungnya, kemampuan teknologi lebih baik mampu menghasilkan komuniti lebih terhubung menerusi komunikasi lebih baik.

Ia turut memberikan manfaat dalam amaran bencana atau pengurusan krisis. Namun pembabitan teknologi angkasa dan ketenteraan mungkin menjadi tidak terkawal tanpa dialog serantau dalam berdepan ancaman di angkasa seperti sisa orbit yang berbahaya. - AGENSI

Berita Harian X