Isnin, 18 Ogos 2014 | 9:18am
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa mengibarkan Jalur Gemilang Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2014 di Dataran Putrajaya di sini, sebentar tadi. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Zahirkan patriotisme biarpun negara masih bersedih - Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata meskipun negara masih diselubungi suasana kesedihan berikutan tragedi pesawat MH17 dan MH370, namun komitmen untuk menterjemahkan semangat serta azam bagi menyemarakkan jiwa patriotisme dan memastikan kedaulatan bumi Malaysia tercinta masih perlu diteruskan.

Perdana Menteri berkata, sesungguhnya inilah kehebatan rakyat negara ini yang sentiasa bersatu hati mengharungi apa jua cubaan dan rintangan sama ada ketika pilu atau gembira dengan jiwa kental bagi mendepani cabaran mendatang.

"Majlis dilancarkan hari ini membawa erti dan sangat signifikan kerana selain sebagai tanda memulakan perayaan bulan kemerdekaan yang cukup bermakna, (kita) juga perlu tunjukkan bahawa sebagai rakyat, kita sanggup melakukan tindakan untuk mengibar Jalur Gemilang.

"Tindakan memasang dan mengibar Jalur Gemilang lebih bermakna lagi sebab rasa dan jiwa patriotisme tidak boleh tersimpan dalam jiwa tetapi perlu dizahirkan secara terbuka bagi menunjukkan semangat rakyat Malaysia," katanya pada majlis pelancaran sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta menteri-menteri Kabinet lain.

Najib berkata, semangat bagi mengibarkan Jalur Gemilang sangat perlu dilakukan kerana ia adalah simbol kebanggaan yang mewakili jiwa serta roh sesebuah negara bangsa serta sebagai identiti nasional yang menyatupadukan rakyat.

Katanya, Jalur Gemilang juga mewakili nilai dan maruah sebuah pertiwi yang berdaulat dan merdeka selain menjadi tanda satu penghormatan dan kebanggaan serta lambang kemenangan apabila terus dilihat berkibar dengan megah dan gagah.

"Jalur Gemilang juga tanda solidariti dan kebersatuan rakyat yang berdiri teguh serta senantiasa bersemangat untuk mengibar dan menaikkan bendera kebanggaan negara itu.

"Jalur Gemilang juga bukan sekadar sehelai kain bercorak tetapi ia tersimpan sebuah pengertian dan seribu makna yang sangat mendalam," katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang akan bergerak ke seluruh negara bagi menyemarak dan menaikkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat serta menggalakkan rakyat mengibar Jalur Gemilang sebagai tanda cinta mereka kepada negara.

Sebuah papan tanda gergasi turut diletakkan di hadapan Perbadanan Putrajaya sebagai tempat orang ramai menurunkan tandatangan dalam menyampaikan ucapan takziah terhadap mangsa insiden pesawat MH17 dan MH370.

Najib berkata, mengibarkan Jalur Gemilang bukan sahaja bagi melahirkan penghargaan kepada pejuang negara yang telah meletakkan asas pembangunan sebuah negara merdeka dan berdaulat, tetapi turut mencerminkan asas dan nilai sangat bermakna yang amat penting bagi sebuah negara untuk berjaya dan terus berjaya.

Beliau berkata, tindakan mengibar Jalur Gemilang perlu disambut setiap lapisan masyarakat dengan penuh perasaan cinta kepada negara, keamanan dan keharmonian serta masa depan yang gemilang.

"Apabila di dalam lubuk hati kita, di dalam jiwa kita, di dalam roh kita, kita dapat hayati rasa cinta kepada negara, maka kita akan melakukan apa sahaja demi kepentingan bangsa, agama dan negara.

"Tindakan mengibar Jalur Gemilang juga memupuk semangat cintakan negara dan menyambut kemerdekaan juga tanda negara telah melalui kisah negara berjaya bukan negara gagal, serta telah melalui proses transformasi, membasmi kemiskinan dan pembangunan infrastruktur," katanya.

Perdana Menteri berkata, tema tahun ini iaitu 'Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' adalah sangat tepat kerana inilah perasaan yang boleh dijadikan asas untuk mencapai status negara maju pada masa depan.

Beliau mengakhiri ucapan dengan mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Kemerdekaan ke-57 dengan semangat mengibarkan bendera tidak mengira sama ada di rumah, pejabat atau pada kenderaan.

- BERNAMA

Berita Harian X