Selasa, 26 Januari 2016 | 4:23pm

Hyundai catat keuntungan terendah dalam 5 tahun

SEOUL: Hyundai Motor Co mencatat keuntungan tahunan terendah dalam lima tahun selepas kelembapan penghantaran ke China lebih ketara berbanding keuntungan yang diraih di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Korea Selatan.

Pendapatan bersih susut 13 peratus kepada 6.42 trilion won (RM0.02 trilion) pada 2015, kata pengeluar kenderaan berpangkalan di Seoul hari ini,

Sebagai perbandingan, purata 27 penganalisis dikumpul Bloomberg menganggarkan pendapatan bersihnya 6.35 trilion won. Jualannya naik tiga peratus kepada 92 trilion won (RM0.33 trilion).

Keuntungan Hyundai jatuh untuk tiga suku berturut-turut dan buat pertama kali tersasar sasaran jualan tahunan sejak 2008 selepas penghantaran ke China merosot, selain tukaran wang asing yang tidak menyebelahi dan mengurangkan pendapatan di Russia dan Brazil.

Syarikat itu meramalkan pertumbuhan jualan 2016 adalah yang paling lemah sejak 2006 berikutan jangkaan kelembapan ekonomi akan berterusan di China, pasaran terbesarnya berdasarkan jumlah kenderaan dijual.

"Anda boleh kata 2015 adalah tahun yang buruk, yang mencapai satu tahap yang mana ia hampir meleset," kata Lee Sang Hyun, penganalisis di IBK Securities Co, sebelum keputusan kewangan itu diumumkan.

"Tahun ini, sungguhpun terdapat harapan keadaan akan bertambah baik susulan jangkaan permintaan akan kembali meningkat di China dan kadar tukaran asing yang tidak membantu di pasaran membangun kembali tenang, ia masih tidak menjangka banyak penambahbaikan berbanding tahun sebelumnya."

Harga saham Hyundai jatuh 0.7 peratus di Seoul. Penanda aras indeks Kospi susut 1.1 peratus.

Penghantaran ke China susut tahun lalu, penyusutan pertama sejak 2007.

Jualan di Russia dan Brazil masing-masing jatuh sebanyak 3.2 peratus dan 2.7 peratus.

Jualan di AS, pasaran kedua terbesarnya, naik lima peratus, manakala penghantaran di Korea Selatan, yang mana ia mencatat marjin keuntungan tertinggi, menokok 4.2 peratus, dibantu permintaan terhadap model Tucson dan Santa Fe. - Bloomberg

Berita Harian X