Isnin, 25 Januari 2016 | 6:03pm

Jangan hanya jadi jaguh kampung - Frost


MORTEN Frost Hansen. - Foto Saifullizan Tamadi

GEORGETOWN: Morten Frost Hansen tidak mahu pemain Malaysia sekadar menjadi 'jaguh kampung', sebaliknya perlu menunjukkan prestasi yang baik seperti diperagakan mereka pada saingan Grand Prix (GP) Emas Malaysia Masters apabila beraksi dalam kejohanan di luar negara.

Sambil mengakui berpuas hati dengan prestasi hampir semua pemain negara dalam kejohanan yang berakhir kelmarin, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu mengakui cabaran berbeza menanti mereka apabila beraksi di luar negara.

Pada saingan Malaysia Masters kali ini, BAM mempunyai tiga wakil di pentas final - Datuk Lee Chong Wei dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin (perseorangan lelaki) serta Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (beregu campuran).

"Ia bukan mudah apabila kamu beraksi di luar negara. Di tempat sendiri kamu sudah biasa dengan persekitarannya, makan makanan kamu dan semua yang disediakan adalah biasa buat kamu.

"Namun, ia akan menjadi lebih mencabar apabila kamu beraksi di luar negara sama ada ke Korea Selatan, London atau di mana saja.

"Ini adalah sebahagian daripada cabaran yang perlu diatasi dan saya mahu pemain turut beraksi dengan baik apabila di luar negara," kata Frost.

Sementara itu, mengulas mengenai persaingan antara beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dengan pasangan profesional, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, dalam misi memburu slot kelayakan ke Sukan Olimpik 2016,

legenda badminton Denmark itu menegaskan dia tidak akan berasa kecewa andai gandingan BAM itu gagal layak ke di Rio de Janeiro, Brazil, Ogos depan.

"Kien Keat-Boon Heong beraksi dengan baik di sini (Malaysia Masters) dan kejayaan mereka menewaskan pasangan Korea Selatan (Kim Gi Jung-Kim Sa Rang) adalah sesuatu yang menakjubkan.

"Sudah pasti, V Shem-Wee Kiong perlu bekerja lebih keras tetapi saya jangkakan ia akan menjadi persaingan yang cukup sengit untuk slot ke Rio," katanya yang menyaksikan V Shem-Wee Kiong tersingkir di suku akhir manakala Kien Keat-Boon Heong mara ke pentas final.

Kien Keat-Boon Heong kini menghuni ranking ke-12 kelayakan ke Rio ketinggalan satu tangga di belakang beregu lelaki negara, V Shem-Wee Kiong untuk ke temasya berprestij itu sebelum tarikh tutup kelayakan berakhir 1 Mei ini dengan setiap negara hanya dibenarkan mempunyai dua wakil pada temasya itu jika kedua-duanya berada dalam kelompok lapan terbaik.

Berita Harian X