Ahad, 24 Januari 2016 | 5:29pm

Kien Keat-Boon Heong gagal lunas dendam


PASANGAN beregu lelaki negara Koo Kien Keat (kiri) dan Tan Boon Heong..- Foto BERNAMA

GEORGETOWN: Beregu profesional, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong gagal melunaskan dendam ke atas pasangan Indonesia, Gideon Markus Fernaldi-Kevin Sanjaya Sukamuljo apabila tewas dalam aksi final Grand Prix (GP) Emas Malaysia Masters, di sini, sebentar tadi.

Bekas juara Seluruh England 2007 itu gagal menebus kekecewaan tewas kepada Markus-Sanjaya ketika Terbuka Vietnam, tahun lalu dengan sekali lagi tunduk 21-18, 13-21, 18-21 dalam aksi final di Arena Spice.

Sebagai rekod, Kien Keat-Boon Heong pernah tiga kali menjadi juara untuk saingan Malaysia Masters iaitu pada 2009, 2011 dan 2012.

Bagaimanapun, kekalahan itu tetap meletakkan bekas beregu nombor satu dunia itu di landasan tepat dalam pemburuan slot ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil, Ogos ini.

Ketika ini, mereka bersaing hebat dengan satu lagi pasangan Malaysia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang tersingkir di suku akhir kejohanan, Khamis lalu.

Setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil di Rio andai berada dalam kelompok lapan terbaik dunia sebelum tarikh tutup kelayakan pada 1 Mei.

Berita Harian X