Ahad, 24 Januari 2016 | 12:03am

Kemelut teks KOMSAS jangan berulang

PEMILIHAN teks Komponen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu terus dibelenggu polemik khususnya dalam kalangan penggiat sastera dan pengguna media sosial sehingga memerlukannya penilaian lebih teliti dan penambahbaikan pemilihan.

Pengarang yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Muda Nasional Malaysia (PENA), Muhammad Lutfi Ishak, berkata pihak penilai perlu lebih bertanggungjawab dalam pemilihan karya dengan meletakkan faktor tertentu sebagai kayu ukur bagi mengelakkan kontroversi sama berulang.

"Banyak faktor yang perlu diambil kira dalam pemilihan teks KOMSAS antaranya meneliti sejarah kepengarangan penulis itu sendiri dan melihat kepada sumbangannya kepada sastera kebangsaan.

"Saya juga mencadangkan agar hanya penulis yang bergiat aktif tidak kurang daripada 10 tahun diberikan ruang untuk dipilih karyanya dalam KOMSAS.

"Selain itu, karya yang dipilih mestilah mewakili sastera kebangsaan dan jika ia dirasakan berat, mengapa tidak teks berkenaan dipermudahkan dengan cara merombak semula khusus untuk edisi pelajar," katanya.

AHLI Jawatankuasa PENA, Muhammad Lutfi Ishak. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Sediakan laporan pemilihan teks

Tambahnya, penilai juga digesa belajar daripada kesilapan lalu dengan menyediakan laporan bagi pemilihan sesebuah karya yang boleh dibaca oleh masyarakat umum bagi mengelak pelbagai kontroversi timbul mengenai pemilihan teks KOMSAS.

Pandangan itu selari dengan Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Naffi Mat, yang turut menyuarakan pandangan selari dengan mengharapkan Kementerian Pendidikan memberi penelitian kepada pemilihan panel.

"Sebagai orang sastera yang pernah terbabit sebagai panel penilai teks KOMSAS, saya melihat wujudnya ketidakseimbangan dalam proses pemilihan kerana ada dalam kalangan yang dilantik bukan ahli dalam bidang berkenaan.

"Ia sekali gus menyebabkan kecenderungan untuk pemilihan karya yang kurang bermutu dan tidak melambangkan kehebatan sastera tanah air diangkat sebagai teks KOSMAS," katanya.

PENSYARAH Kanan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI, Dr Naffi Mat

Lobi 'pengeluar novel segera'

Naffi turut melihat perkembangan tidak sihat berlaku apabila sesetengah pengarang atau penerbit yang digelarnya 'pengeluar novel segera' yang melobi dengan menghasilkan karya khusus untuk diangkat sebagai teks KOMSAS.

"Ada sesetengah penulis yang mengambil kesempatan dengan mensasarkan tujuan penulisan semata-mata untuk dipilih sebagai teks KOMSAS kerana ingin mendapat habuan royalti yang besar.

"Ia sememangnya agak mengecewakan kerana melenyapkan peluang karya sastera yang baik untuk terpilih.

"Saya berharap edisi pemilihan seterusnya bagi tahun 2020 akan lebih telus dengan Pusat Pembangunan Kurikulum (PPK), Kementerian Pendidikan perlu menghebahkannya dengan lebih agresif bagi memastikan penerbit karya sastera yang baik tidak terlepas menghantar novel bersesuaian untuk dicalonkan," katanya.

PENSYARAH Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA, Datuk Rahman Shaari. - Foto Owee Ah Chun

Pastikan keseimbangan pemilihan

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Datuk Rahman Shaari, yang juga pernah terbabit dalam panel pemilihan teks KOMSAS berkata, pihak kementerian perlu memastikan keseimbangan dalam pemilihan karya.

"Pemilihan sesebuah teks perlu sama rata dari segala aspek, iaitu bukan saja daripada konteks kandungan, nilai baik dalam karya, bahkan kredibiliti pengarang perlu diambil kira.

"Contohnya jika novel bagi sesebuah zon itu dihasilkan oleh pengarang muda yang baharu berjinak-jinak dalam dunia pengkaryaan, teks itu tentu akan dibandingkan dengan zon lain yang ditulis oleh pengarang prolifik," katanya.

Berita Harian X