Jumaat, 22 Januari 2016 | 11:04am
LAKARAN model 'Forest City' di Iskandar Malaysia seluas 1,386.05 hektar yang akan dibangunkan dalam tempoh 20 tahun.

Forest City, Iskandar Malaysia bernilai RM177b dilancarkan

SINGAPURA: Country Garden Holdings Co Ltd dan Esplanade Danga 88 Sdn Bhd melancarkan pembangunan empat pulau buatan 'Forest City' di Iskandar Malaysia seluas 1,386.05 hektar dengan pelaburan bernilai RM177 bilion (S$58.3 bilion) untuk tempoh 20 tahun. 

Pelancaran projek itu yang dijangka dibuka untuk tempahan pada suku pertama tahun ini kepada pelabur global dan tempatan, sekali gus menutup tanda tanya berhubung perkembangan projek pulau buatan itu yang menjadi isu antara Malaysia dan Singapura.  

Fasa pertama 'Forest City' akan meliputi pembangunan unit kediaman mewah dan kondominium di tepi pantai yang memiliki dua hingga empat bilik antara 818 kaki persegi hingga 1,915 kaki persegi. 

Ketua Eksekutif Country Garden Holdings, Mo Bin, berkata Forest City adalah pembangunan mega pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang menawarkan gaya hidup mapan seperti zon bebas kereta, kediaman pintar, mewah dan bandar hijau. 

Katanya, pengenalan Forest City menjadi batu loncatan kepada Country Garden melengkapkan pencapaian kumpulan dalam projek terkemuka di peringkat antarabangsa. 

"Forest City menawarkan nilai pelaburan yang tinggi kepada pelabur dengan persekitaran semula jadi dan hampir dengan pusat pendidikan, kesihatan, pengangkutan, pusat kewangan dan tarikan pelancong yang penting. 

"Ia adalah projek strategik dan penting kumpulan yang lahir daripada impian untuk mewujudkan kehidupan mapan, mewah, moden dan berdaya maju di tengah-tengah Asia Tenggara," katanya pada pelancarannya di sini, hari ini.

Berita Harian X