Rabu, 20 Januari 2016 | 10:25pm

Kien Keat-Boon Heong sedia berkorban untuk ke Rio


BEREGU profesional, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong beraksi menentang pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada pusingan pertama Grand Prix (GP) Emas Malaysia Masters, sebentar tadi. - Foto Mikail Ong

GEORGETOWN: Beregu profesional, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bersedia untuk berkorban apa saja demi merealisasikan impian layak beraksi pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil, Ogos depan.

Bekas pasangan nombor satu dunia itu berkata, tempoh empat bulan yang ada sebelum tarikh tutup kelayakan tamat pada 1 Mei depan amat penting buat mereka dan perlu melakukan apa saja, termasuk meninggalkan keluarga demi cita-cita beraksi di Rio.

"Empat bulan ini, kami perlu fokus dan perlu menjaga tahap kecergasan kami. Kami perlu lupakan semua perkara di luar gelanggang, termasuk keluarga bagi mencapai sasaran kami.

"Jika mahukan yang terbaik, kamu perlu lakukan yang terbaik dan selepas itu, bukan lagi dalam kawalan kami," kata Kien Keat ketika ditemui selepas dia dan Boon Heong menewaskan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (JPN) 19-21, 21-8, 19-21 pada pusingan pertama Grand Prix (GP) Emas Malaysia Masters, sebentar tadi.

Kien Keat-Boon Heong kini menghuni ranking ke-12 kelayakan ke Rio, ketinggalan satu tangga di belakang beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk ke temasya berprestij itu sebelum tarikh tutup kelayakan berakhir.

Setiap negara hanya dibenarkan mempunyai dua wakil pada temasya itu, jika kedua-duanya berada dalam kelompok lapan terbaik.

Ditanya mengenai perbezaan sekarang dalam misi memburu slot ke Sukan Olimpik berbanding ketika mereka masih bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kien Keat berkata: "Saya tidak pernah rasa macam ini, dulu mungkin kami tidak rasa sesukar ini.

"Namun, sekarang persaingan sangat sengit kerana kami ketinggalan satu tangga di depan pencabar utama kami (V Shem-Wee Kiong)."

Kien Keat-Boon Heong akan menentang pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Lee Yang untuk aksi pusingan kedua Malaysia Masters, esok.

Berita Harian X