Rabu, 20 Januari 2016 | 7:30am

Konsep dewan makan-pasar raya di Parkson Maju Junction

gn4id:11589617

KUALA LUMPUR: Pengendali pusat beli-belah terkemuka, Parkson Corporation Sdn Bhd (Parkson), menawarkan kelainan kepada pengunjungnya dengan memperkenalkan 'Foodpark by Parkson' di cawangan terbaharunya, Parkson Maju Junction, Kuala Lumpur.

Pasar raya yang mengetengahkan konsep gabungan dewan makan dan pasar raya itu, kali pertama ditawarkan kepada pengunjung dengan mengetengahkan tema klasik-moden sebagai hiasan dalaman.

Pengerusi Kumpulan yang juga Pengarah Urusan Parkson, Tan Sri William Cheng, berkata idea 'Foodpark by Parkson' itu diilhamkan daripada konsep yang dibawa khas dari luar negara.

Katanya, cawangan itu dengan keluasan 36,000 kaki persegi, menawarkan pelbagai pilihan makanan tempatan dan antarabangsa termasuk Korea, Jepun, New Zealand, Australia dan Amerika Syarikat.

"Kami juga menyediakan 16 gerai makanan dan gerai khas untuk pengunjung yang ingin merasai keenakan makanan, minuman dan pencuci mulut ditawarkan," katanya berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Beli-belah Maju Junction, di sini, semalam.

Selain 'Foodpark by Parkson', Cheng berkata, pusat beli-belah itu turut menawarkan taman tema berkonsepkan belajar sambil berhibur iaitu 'Little Kingdom' yang menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik khas untuk si cilik.

Katanya, taman tema itu juga membolehkan anak pengunjung mengetengahkan bakat semula jadi menerusi pelbagai aktiviti termasuk meneroka alam semula jadi, aktiviti 'puzzle' dan ketahanan fizikal.

"Taman tema ini juga menawarkan beberapa kelas khas khusus untuk mencungkil bakat terpendam si cilik," katanya.

Beliau berkata, 'Little Kingdom' dengan keluasan 40,000 kaki persegi yang terletak di aras dua pusat beli-belah berkenaan akan menjadi medium bagi ibu bapa dan anak mereka mengisi masa lapang, di samping mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Parkson mengambil alih pusat beli-belah Maju Junction pada pertengahan tahun lalu apabila operasi pusat beli-belah itu kurang mendapat sambutan orang ramai selepas ia dibuka pada tahun 2002.

Ketika ini, Parkson mempunyai 45 cawangan di seluruh negara, 60 di China, sembilan di Vietnam, 15 (Indonesia) dan satu di Myanmar.

Berita Harian X