Selasa, 14 Oktober 2014 | 3:27pm
ATLET wushu wanita negara, Tai Cheau Xuen gagal dalam ujian doping selepas menang pingat emas acara Nanquan dan Nandao di Sukan Asia 2014 di Incheon, bulan lalu - Foto Rosli Rahmat

Presiden WFM letak jawatan

KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), Martin Lim akan meletakkan jawatan akhir bulan ini selepas sukan ini tercemar gara-gara dadah.

Ini berikutan selepas atlet wushu wanita negara, Tai Cheau Xuen gagal dalam ujian doping selepas menang pingat emas acara Nanquan dan Nandao di Sukan Asia 2014 di Incheon, bulan lalu.

"Selaku presiden WFM saya mengambil tanggungjawab penuh. Apa yang berlaku adalah di luar kawalan kita dan saya harap imej tercalar ini dapat diperbaiki dalam satu tempoh singkat," katanya.

Cheau Xuen diuji positif menggunakan sibutramine - sejenis bahan rangsangan yang dilarang, lazimnya ditemui dalam pil menguruskan badan.

Atlet berusia 23 tahun itu membuat rayuan tetapi ia ditolak Mahkamah Timbang Tara Sukan, bulan ini. Difahamkan dia mungkin digantung dua tahun daripada kejohanan seluruh dunia.

Sementara itu, Juwita Niza Wasni dari Indonesia yang menang perak di Sukan Asia dinaikkan pangkat selaku pemenang emas acara berkenaan. - Agensi

Berita Harian X