Sabtu, 16 Januari 2016 | 12:01am
AYAM masak kicap.
GORENG kubis wawa.

Rencah tempatan dalam masakan cina


CEF Alex Choong Man.

SWISS Garden Hotel & Residences Kuala Lumpur menerusi Restoran Flavors berusaha mengukuhkan menu masakan Cina dengan memanfaatkan air tangan Cef

berpengalaman, Alex Choong Man yang masyhur dengan resipi fusion, selain mengutamakan ramuan herba tempatan dalam menyedapkan makanan.

Berbanding makanan Cina biasa yang tidak pedas, Alex sebaliknya menambah rencah dan perisa menyengat dengan memasukkan santan kelapa, kunyit, bunga lawang dan bunga cengkih yang disifatkannya mewakili cita rasa pelbagai kaum di Malaysia.

"Sayang jika tidak menggunakan sepenuhnya kekayaan alam yang kita ada. Bagi saya, santan kelapa menjadikan makanan lebih enak, namun pada masa sama, saya suka mencampurkan bunga cengkih yang membuat makanan lebih manis dan kaya rasa," katanya.

Saji masakan terbaik


CLAYPOT daging rusuk ditumis dengan serai.

Masakan menterjemahkan cita rasa Alex yang bakal menunggu pelanggan di restoran berkenaan yang terletak di Jalan Pudu termasuk sup daging ketam dan sirip yu dimasak ala Szechuan, ayam masak kicap, claypot daging tulang rusuk ditumis dengan serai, udang goreng mentega dengan hirisan kelapa, goreng kobis Wawa dilimpahi cuka hitam, nasi goreng tiram salai dihidangkan dalam kuali dan pencuci mulut sos vanila bersama tiga lapisan krim antaranya labu, ubi keledek dan keladi.

Demi menghidangkan rasa segar, selain mempertahankan kualiti rasa, Cef Alex memberi keutamaan kepada bahan masakan terbaik, malah ada yang diimport.

Ikut selera pelanggan

Daging dan tulang rusuk lembu khusus penyediaan Braised Lemongrass Beef Rib (daging tumis serai) misalnya, dibawakan khas dari Australia.

Selain menjadikan masakan lebih segar dan menyelerakan, ia sejajar hasrat restoran yang bukan sekadar menetapkan pelanggan sasaran kalangan peminat masakan Cina tempatan bahkan penginap hotel dari luar negara.

"Namun, saya tidak meminggirkan pelanggan tempatan sebaliknya cuba sebaikmungkin menyediakan masakan mengikut selera mereka. Lidah orang kita tidak betah menikmati makanan tanpa santan dan rempah ratus menyebabkan saya tidak mungkin melupakan bahan-bahan itu setiap kali menyiapkan hidangan," katanya.


UDANG goreng mentega dengan hirisan kelapa.

Bahkan, udang goreng mentega turut dijamah bersama kelapa parut yang ditabur di atasnya sekali gus menjadikan rasa udang bertambah manis.

Menu eksklusif cef berpengalaman 30 tahun dalam bidang restoran dan perhotelan tempatan dan antarabangsa termasuk menyumbangkan kemahiran di Brunei dan China itu menemui pelanggan pada bulan ini apabila sebuah restoran khusus menawarkan menu masakan cina dibuka. Ia juga boleh dinikmati pelanggan yang berkunjung ke hotel berkenaan menjelang perayaan Tahun Baru Cina.

Harga istimewa

Pelanggan berpeluang memilih secara ala carte yang menawarkan harga serendah RM15 manakala bagi pakej perkahwinan, harga ditawarkan bermula RM850 hingga mencecah RM2,100 permeja.

Selain itu, tidak rugi memilih The Flavors yang terletak di tingkat 6, Hotel Swiss Garden di Jalan Pudu itu kerana menyediakan dua ruang makan berbeza. Bagi yang suka makan dalam suasana dingin alat pendingin hawa boleh menerjah ruang makan di bahagian dalam sementara mereka lebih senang menikmati sajian ditemani landskap menarik dan bayu berpuput lembut, disyorkan memenuhi meja di luar.

Keterangan lanjut dan tempahan, hotel ini boleh dihubungi menerusi talian 03-2141 3333 sambungan 1182 atau melayari laman web, www.swissgarden.com.

Berita Harian X