Jumaat, 15 Januari 2016 | 9:25pm
PELUMBA, Khairul Idham Pawi bersama model terbaharu Wave Dash FI. - Foto Surianie Mohd Hanif

Boon Siew Honda sasar 120,000 motosikal pada 2016

KUALA LUMPUR: Boon Siew Honda Sdn Bhd menyasarkan jualan motosikal yang lebih tinggi, sebanyak 120,000 unit tahun ini berbanding 90,000 pada 2015 melalui pelancaran model baharu.

Timbalan Pengerusi dan Timbalan Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Tan Hui Jing, berkata selain pelancaran model terbaharu Wave Dash FI, syarikat itu merancang untuk memperkenalkan dua lagi model dalam kategori motosikal kecil atau Cub pada Jun dan hujung tahun ini.

"Kami mahu menguasai 28 peratus dalam pasaran segmen Cub dan sedang berusaha untuk memenangi semula penguasaan pasaran kami dalam segmen ini," katanya pada pelancaran Honda Wave Dash FI sini, hari ini.

Syarikat itu menjangka motosikal baharu itu yang datang dalam tiga varian, iaitu Type S, Type R dan Type-R Edisi Repsol akan menyumbang antara 30 hingga 35 peratus kepada jumlah jualan pada tahun ini.

Harga di bilik pameran, masing-masing adalah RM5,299, RM5,549 dan RM5,699.

"Syarikat menyasarkan untuk menjual sekurang-kurangnya 3,500 Wave Dash FI, iaitu generasi ketiga dari Honda Wave tahun ini," katanya sambil menambah permintaan untuk Cub yang lebih bergaya, mula diperkenalkan pada 2003, melebihi jangkaan pada tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Jualan dan pegawai pemasaran Boon Siew Honda, Koji Onishi, berkata Wave Dash FI adalah edisi terbaharu yang lebih baik yang direka berdasarkan maklum balas pelanggan.

Boon Siew Honda akan terus melancarkan model yang lebih baharu dalam usaha untuk meningkatkan pasaran motosikal dan jualan kenderaan itu di Malaysia amnya.

Beliau ketika bercakap mengenai pasaran motosikal Malaysia pada 2015, berkata, jumlah dagangan industri menjadi lebih rendah disebabkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan termasuk kejatuhan harga komoditi telah menjejaskan kuasa beli pengguna luar bandar.

Jumlah pendaftaran motosikal dalam tempoh April-Disember tahun lepas susut sebanyak 19.22 peratus kepada 261,851 unit daripada 324,180 pada tempoh yang sama tahun lepas, katanya.

Beliau berkata pasaran juga mencatatkan runcit yang lebih perlahan pada bulan Oktober, November dan Disember tahun lepas dengan purata jualan sebanyak 6,600 motosikal sebulan, mencerminkan pasaran yang semakin mengecil disebabkan oleh kelembapan ekonomi. - BERNAMA

Berita Harian X