Selasa, 14 Oktober 2014 | 4:53am

'Padang sama rata' khas untuk penulis kreatif

Baru-baru ini, seorang staf BH mencipta fenomena apabila cetusan fikirannya dalam facebook mendapat reaksi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Staf berkenaan, Imlan Adabi mempersoalkan kewajaran wujudnya istilah 'penulis bukan Melayu' yang menulis dalam bahasa kebangsaan, pada hal negara sudah lebih 57 tahun merdeka.

Menanggapi cetusan fikiran Imlan Adabi itu, pada 29 September yang lalu DBP menganjurkan forum mengenai isu berkenaan. Editor sastera BH, Nazmi Yaakub menjadi moderatornya. Ia mengulang kembali gema persoalan mengenai pengkategorian itu yang boleh menimbulkan pelbagai konotasi.

Istilah 'bukan-Melayu' adalah suatu realiti ras dan budaya. Ada peserta bukan-Melayu yang menghadiri forum berkenaan berpendapat bahawa ia tidak tersinggung dengan istilah itu kerana itulah hakikat keturunannya.

Forum serta perbincangan yang agak panjang lebar itu memberi saranan tidak langsung bahawa istilah itu mungkin tidak sesuai lagi, khususnya dalam bidang kesusasteraan. Cukuplah kalau seseorang penulis itu dianggap sebagai penyumbang sastera kebangsaan, tanpa menyebut asal keturunannya.

Istilah itu sebenarnya sudah membayangi kehidupan kita semua sejak beberapa dekad. Ia disebabkan oleh pelbagai sistem pendidikan, yang menggunakan pelbagai bahasa. Ia juga gambaran wujudnya parti politik yang mewakili kaum utama di negara ini, sehingga menimbulkan tanggapan adanya 'kita' dan 'orang lain' - dari kaca mata sesiapa pun konsep itu dipandang.

Kini sudah tiba masanya bagi membuka lembaran baharu. Pengisian program nasional, seperti sastera kebangsaan, harus mengikutsertakan kaum lain. Seperti sastera bukanlah hak mutlak pelajar lulusan sastera tulen sahaja, sastera kebangsaan juga bukan hak eksklusif penulis Melayu. Sastera Inggeris, Jerman dan Perancis umpamanya, turut menerima sumbangan berharga daripada penulis dari India, Jepun dan Afrika.

Seperti pendapat seorang panel forum, 'padang telah sama rata.' Sesiapa yang ingin menceburi sastera kebangsaan harus yakin bahawa penguasaan bahasanya sudah mencukupi untuk menduga padang yang sama rata itu.

Akan tetapi yang turut mendasari perkara merentas kaum di negara kita adalah isu perpaduan. Ini kerana sastera turut dituntut memainkan peranan mempelopori integrasi nasional yang mungkin kurang berkesan pelaksanaannya oleh agensi tertentu.

Berhubung isu integrasi nasional ini, sastera Melayu moden memberikan contoh yang terbaik melalui beberapa karya. Antara yang penting termasuk novel Interlok oleh Abdullah Hussain. Puisi Usman Awang Anak Jiran Tionghua juga selalu dipetik sebagai contoh terbaik yang membawa tema perpaduan antara kaum. Dua contoh lain ialah novel Subuh oleh Atan Long, dan cerpen Isteri Leong Beranak oleh A Wahab Ali.

Di dalam cerpen Mahua, iaitu yang ditulis oleh penulis Cina Malaysia tetapi menggarap persoalan sosial di negara ini, tema integrasi nasional tidaklah jelas, walaupun ada watak dan budaya Melayu yang disentuh.

Watak Melayu dibawa ke dalam cerita Mahua - menurut Wong Seng Tong, bukanlah semata-mata kerana memberikan identiti latar tempatan yang jelas dan menarik, tetapi juga kerana keperluan cerita dan kerana minat menumpukan perhatian cerita pada kalangan orang Melayu. Sejumlah cerpen Mahua turut memuatkan petikan dialog dalam bahasa Melayu, serta menyentuh seni budaya Melayu.

Beberapa cerpen penulis Tamil juga ada memperkenalkan watak Melayu dan Cina, tetapi mesej perpaduan antara kaum belumlah begitu ketara. Penulis Tamil, seperti juga penulis Mahua, tampaknya lebih selesa membicarakan isu sosial dalam masyarakat mereka sendiri.

Penulis Mahua dan penulis Tamil (yang menulis karya sastera dalam bahasa Tamil) adalah dua entiti yang berbeza daripada penyumbang sastera kebangsaan. Mereka dilahirkan melalui sistem pendidikan vernakular yang mengutamakan bahasa ibunda masing-masing.

Alangkah baiknya jika mereka secara beransur-ansur dapat menulis dalam bahasa kebangsaan supaya isu yang mereka ungkapkan dapat lebih difahami oleh jumlah khalayak lebih luas.

Sejumlah teman mereka berketurunan Cina, India, Siam, Iban dan Kadazandusun telah membuktikan kemampuan berkarya dalam bahasa kebangsaan. Karya mereka bukan sahaja membawa sfera budaya baharu dalam kesusasteraan Melayu moden, malah bermutu tinggi. Mereka adalah penyumbang sastera kebangsaan kita, tanpa perlu menyebut asal keturunannya.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Berita Harian X