Rabu, 13 Januari 2016 | 5:57pm

Menteri Dalam Negeri Jerman lawat Istanbul


MENTERI Dalam Negeri Jerman, Thomas de Maiziere. - Foto REUTERS

BERLIN: Menteri Dalam Negeri Jerman, Thomas de Maiziere akan melawat Istanbul susulan serangan pengebom nekad yang membunuh 10 pelancong kebanyakannya warga Jerman, menurut kementerian itu, hari ini.

Jurucakap kementerian berkata, De Maiziere bakal melawat lokasi serangan dan berbincang dengan pihak berkuasa Turki diikuti sidang akhbar.

Canselor Jerman, Angela Merkel berkata, sekurang-kurangnya lapan warga Jerman antara mereka yang terkorban dan sembilan lagi cedera daripada 15 yang dilaporkan dalam serangan itu.

Sehubungan itu, Berlin mengingatkan warganya agar tidak berada di tempat awam mahupun kawasan tumpuan pelancong.

Serangan itu berlaku, berhampiran kawasan tumpuan pelancong terkenal Masjid Biru, di Sultanahmet, daerah yang terkenal dengan bangunan bersejarah di sekitar Istanbul.

Kerajaan Turki menyalahkan militan IS bertanggungjawab melakukan serangan itu, juga dua serangan pada Oktober tahun lalu di ibu negara Turki, Ankara yang membunuh lebih daripada 100 orang.

Sementara itu, agensi berita Turki, Anadolu melaporkan, polis anti keganasan di bandar Antalya menahan tiga warga Russia ketika serbuan terhadap militan IS susulan serangan terbabit.

Anadoulu melaporkan, suspek dikatakan mempunyai kaitan dengan militan IS di zon konflik dan menyediakan bantuan logistik kepada kumpulan terbabit. - AFP

Berita Harian X