Jumaat, 8 Januari 2016 | 9:36am

Najib akan bentang pengubahsuaian Bajet 2016


NAJIB ketika berucap pada perhimpunan khas bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Pengubahsuaian beberapa aspek Bajet 2016 akan dibentangkan dalam masa terdekat untuk melakukan penalaan (recalibration) supaya lebih realistik lagi tepat dengan keadaan pada 2016, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, menerusi tindakan yang berlandaskan senario ekonomi semasa itu, pengubahsuaian bajet akan merangkumi langkah tambahan penegasan baru mengoptimumkan perbelanjaan dan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Kita dapat meramalkan 2016 sebagai tahun lebih mencabar terutama berikutan kelembapan ekonomi China yang juga ekonomi kedua terbesar dunia dan rakan dagangan terbesar negara selain penurunan harga minyak mentah dan komoditi yang berterusan memandangkan ianya bergantung kepada bekalan serta permintaan global.

"Harga purata minyak mentah Brent menjunam daripada AS$98.94 (RM433.11) setong pada 2014 kepada AS$31.58 (RM138.24) setong semalam sedangkan unjuran pertumbuhan ekonomi pada 2016 adalah berdasarkan harga purata Brent sebanyak AS$48 (RM210.12) setong.

"Keadaan pasaran kewangan terutama berikutan penyelarasan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (US Fed), membawa kesan kepada aliran modal serantau, termasuk Malaysia manakala pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) turut memberi kesan kepada nilai ringgit," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan khas dengan warga Kementerian Kewangan, di sini pagi tadi.

Yang hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.


NAJIB hadir pada perhimpunan khas bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini. Turut bersama Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Chua Tee Yong (kiri). - Foto Fariz Iswadi Ismail

Kata Perdana Menteri, sebagaimana yang umum sedia maklum, semua perkara itu adalah faktor luaran yang di luar kawalan kerajaan.

Namun, tambah beliau, dalam persekitaran yang tidak menentu itu, negara masih berupaya mencatat pertumbuhan ekonomi yang berterusan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2015 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.1 peratus.

Justeru, tegas Najib, bagi menangani cabaran pada 2016, tindakan lebih responsif lagi tegas perlu diambil perhatian bukan sahaja oleh Kementerian Kewangan tetapi juga oleh kerajaan, GLC dan rakyat keseluruhannya.

Beliau menggesa semua pihak menguruskan sumber dengan cekap dan mencapai tahap optimum supaya apa yang dibelanjakan mesti memberi kesan besar kepada kepentingan rakyat selain bersiap sedia dan memikirkan cara terbaik untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

"Kita menyasarkan ekonomi Malaysia kekal stabil pada 2016, pada masa ini unjuran kita antara empat hingga lima peratus dari segi kadar pertumbuhan KDNK. Inflasi dijangka kekal rendah diunjur berada dalam lingkungan dua hingga tiga peratus.

"Kerajaan kekal komited untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.1 peratus daripada KDNK pada 2016, manakala tahap hutang Kerajaan Persekutuan dijangka kekal terkawal dalam had 55 peratus daripada KDNK. Kesudahannya, kesejahteraan rakyat mesti terus diperjuangkan oleh kerajaan," katanya.

Dalam aspek itu, jelas Najib, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), secara mikro menampung hasil kerajaan daripada pengurangan hasil cukai petroleum, sekali gus menjadi penyelamat kepada ekonomi negara.

Menghurai lanjut, beliau memaklumkan GST mencatat unjuran kutipan bersih RM27.126 bilion (kutipan kasar RM37.67 bilion) hingga Disember 2015 manakala bagi tahun ini, kutipan bersih GST dianggarkan meningkat kepada RM39 bilion.

Harga minyak juga dijangka kekal rendah pada 2016 dan penyusutan pendapatan kerajaan dianggarkan lebih RM30 bilion tetapi kalau kekal pada paras AS$32, AS$35 atau AS$36 setong, penyusutannya lebih RM30 bilion.

"Mujur kita laksana GST, jika tidak, defisit negara akan meningkat kepada 4.8 peratus dan bukan lagi 3.1 peratus pada 2016. Mana mungkin Kerajaan dapat laksanakan projek pembangunan seperti jalan raya, hospital, sekolah, beri Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sebagainya jika kita tidak mempunyai kutipan hasil yang mencukupi.

"Adalah tanggungjawab kerajaan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup yang melampau. Justeru, melalui kutipan GST ini, kerajaan dapat teruskan BR1M yang memanfaatkan 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang dengan peruntukan RM5.9 bilion.

"Inilah senario baru, ..saya tidak mahu menggula-gulakan rakyat Malaysia. Saya tidak mahu beri gambaran yang tidak menggambarkan realiti sebenar," katanya sambil menambah bahawa bayaran bantuan BR1M akan dibuat secara berperingkat mulai 28 Januari ini.

Berita Harian X