Khamis, 7 Januari 2016 | 12:02am

Novel terbaik 2015

Tiga pengarang, ahli akademik bawa pemikiran besar, naratif sejarah bangsa dalam karya

RANAH kesusasteraan tanah air menutup tahun 2015 dengan penerbitan puluhan judul yang dianggap baik bagi genre fiksyen sastera.

Selain penerbitan 10 novel pemenang Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH kali kedua, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) turut menerbitkan 10 lagi novel yang berada dalam senarai akhir sayembara itu.

Sementara itu, tiga novel pemenang Hadiah Sastera Utusan-Exxon Mobile (HSKU) 2013 yang tertangguh penerbitannya turut mewarnai sastera tahun ini yang belum dicampur dengan naskhah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain terbitan syarikat penerbitan persendirian.

Sastera BH mendapatkan pandangan pengarang dan ahli akademik sastera mengenai novel yang dianggap terbaik untuk tahun 2015.

Bagi Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir, beliau mengangkat empat novel, iaitu Ah Fook karya Jong Chian Lai; Hikayat Tanah Jauh (Zainal Rashid Ahmad); Soneta Roda Basikal (Wan Nor Azriq) dan Dihujung Negeri (Ariff Mohamad).

Luahan jujur, peta besar sejarah

"Saya memilih Ah Fook kerana garapan penerima SEA Write 2006 ini jarang gagal, apatah lagi beliau mengangkat sudut pandang orang Cina yang datang ke Tanah Melayu untuk mencari rezeki.

"Dimensi pensejarahan yang digarap Chian Lai tidak boleh ditemui dalam teks sejarah. Luahan jujur yang suka atau tidak adalah sebahagian daripada peta besar sejarah negara," katanya.

SM Zakir turut memilih Hikayat Tanah Jauh yang dibina dengan gaya satira dan sentuhan realisme magis gaya tersendiri Zainal Rashid yang menyerlahkan lagi kehebatan pengarang kelahiran Kedah itu.

"Realisme magisnya ialah gaya Malaysia yang memperlihatkan tradisi Melayu yang kuat pada struktur binaannya. Ia kisah politik dan perjuangan Melayu dibuat dalam acuan tempatan," katanya.

Dua lagi naskhah yang menjadi pilihan SM Zakir, iaitu Soneta Roda Basikal dianggap kuat pemikirannya dan dibina dengan gaya penulisan avant-garde, manakala Di Hujung Negeri pula membawa persoalan pemikiran besar, iaitu bangsa dan watan.

Peringatan, wacana bangsa

Sementara itu, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mawar Shafie menamakan S.P.I.D.E.R (Teori Sang Labah-labah) oleh Nazri Hussein; Trivia (Ruhaini Matdarin) dan Sarjana Bangsa (Hasanuddin Isa).

"Novel Nazri ialah teks peringatan kepada bangsanya yang diuji dengan cabaran hebat dan menghimpunkan wacana serta tidak membenarkan ruang kosong dengan babak sia-sia.

"Menerusi watak wira ini, wacana kehormatan Islam dan bangsa Melayu berhadapan dengan cantuman perca rahsia serta misteri dari beberapa penjuru dunia," katanya.

Mawar turut memilih Sarjana Bangsa yang dianggap sebagai proses memperlengkap perjalanan kepengarangan Hasanuddin dalam memperkasa susuk bangsa Melayu selepas Mereka Yang Tertewas dan sequelnya hingga yang terkini, Cebisan Mantera Terakhir.

"Trivia pula membentangkan padang intertekstualiti yang tebal daripada beberapa teks awal antaranya seperti One Hundred Years of Solitude karya Gabriel García Márquez; Midaq Alley (Naguib Mahfouz); The Old Man and the Sea (Hemingway) dan Naratif Ogonshoto serta Penyeberang Sempadan (Anwar Ridhwan)," katanya.

Menerusi Trivia, kata Mawar, pengarangnya mempertemukan teks terbabit selincah watak yang berbahas dan berhujah yang antara lain menghidangkan pelbagai tafsiran daripada masa lalu untuk diterjemahkan dalam kehidupan hari ini, esok dan seterusnya.

Olahan bersahaja, biografi jujur

Pensyarah Sastera Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ariff Mohamad pula memilih Ah Fook yang digarap teliti dan olahan bahasanya baik selain turut menamakan Hikayat Tanah Jauh, Meski Jauh dibatasi Bumi (Sutung Umar Rs), Sebalik Yamashita dan Percival (Shaari Isa) dan Nanyang sebagai naskhah terbaik 2015.

"Meski Jauh Dibatasi Bumi novel separuh biografi yang jujur tentang perjalanan individu. Getir cabaran hidup yang dibawakan pengarang memberikan kesedaran kepada pembaca dengan olahan yang bersahaja.

"Yamashita dan Percival ialah novel yang mengangkat watak bertentangan dalam ideologi perang, namun dapat menyatu dalam fikiran, logika dan perasaan.

"Novel ini membawakan sudut pandang yang tersendiri tentang kemanusiaan, manakala olahan pengarangnya terperinci namun gaya naratif agak panjang dan Nanyang pula membawa sudut pandangan segar yang mengupas sejarah dan perpaduan," katanya.

Berita Harian X