Rabu, 6 Januari 2016 | 7:59pm

Huawei saing Apple dengan gajet terbaharu

Las Vegas: Gergasi elektronik China, Huawei menyasarkan meraih bahagian pasaran segmen premium yang dikuasai Apple, dengan melancarkan telefon pintar skrin besar baharu bersama tablet serta jam pintar mewah.

Seperti yang diumumkan barisan telefon pintar terbaharu dipanggil Mate 8 di Pameran Elektronik Pengguna (CES), Huawei menyatakan ia melihat laluan untuk menjadi vendor global nombor dua dalam sektor dengan kedudukan kini dipegang Apple yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

"Setiap tahun, setiap bulan, kita meningkatkan penguasaan pasaran kami," kata Ketua Peranti Pengguna Huawei, Richard Yu.

"Dalam tempoh beberapa tahun, kita percaya kami boleh menjadi nombor dua."

Di CES, Huawei mengumumkan pelancaran barisan telefon premium yang mendakwa prestasi dan jangka hayat bateri lebih baik daripada pesaing yang dibuat oleh Apple dan Samsung.

"Dengan paparan enam inci, ia masih kecil secara keseluruhannya daripada telefon pintar serupa," kata Kevin Ho yang mengetuai operasi telefon bimbit Huawei.

Mate 8 akan dilancarkan di 30 negara, tetapi tidak di AS yang bermula daripada harga 599 euro (RM2,800) sejajar dengan barisan model daripada Apple dan Samsung.

Gelombang pertama pasaran di mana Mate 8 akan dilancarkan ialah di Eropah, Amerika Latin, Asia Barat dan Asia Timur.

Ho berkata, peranti baharu mempunyai hayat bateri lebih dua hari dan sistem pengenalan cap jari untuk pembayaran, audio kamera yang lebih baik dan teknologi mikrofon.

Peranti yang menyasarkan pengguna perniagaan itu mempunyai kuasa yang mencukupi apabila dicas sepenuhnya untuk menonton 17 jam video definisi tinggi dan 20 jam melayari web melalui rangkaian selular 4G.

Peranti Android juga memaparkan pengimbas cap jari lebih baik yang membolehkan anda menjawab panggilan dengan hanya menyentuh sensor di bahagian belakang telefon.

Mengambil 'selfie' juga dibolehkan oleh sentuhan cap jari.

Berita Harian X