Rabu, 6 Januari 2016 | 7:18pm

Lexus Malaysia rekod jualan tertinggi

KUALA LUMPUR: Lexus Malaysia, anak syarikat perniagaan kenderaan mewah UMW Toyota Motor, merekodkan prestasi terbaik dari segi catatan jualan tertinggi pada tahun lalu dengan 2,101 unit berbanding 1,601 pada tahun sebelumnya.

Syarikat dalam satu kenyataan, menyatakan menerusi pencapaian berkenaan, ia membolehkan jenama itu mengukuhkan kedudukannya dalam segmen kenderaan mewah di negara ini, segmen yang muncul dengan momentum jualan yang menarik sepanjang tahun, di tengah-tengah keadaan ekonomi yang mencabar.

"Model Lexus yang baharu dilancarkan, terutama Lexus NX, Lexus ES dan Lexus RX serba baharu memberi rangsangan kepada kedudukan Lexus dalam segmen kenderaan mewah yang kini menduduki tempat ketiga di pasaran Malaysia.

"Model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak paling laris, Lexus NX menyumbang jualan sebanyak 54 peratus dengan lebih 1,100 unit yang dijual.

"Model Lexus lain menyumbang kepada jumlah itu ialah pelbagai rangkaian varian Lexus ES dan Lexus RX yang masing-masing mewakili jualan sebanyak 33 dan sembilan peratus," katanya.

Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama, berkata prestasi Lexus Malaysia tahun lalu adalah pencapaian menakjubkan kerana berjaya mencatatkan rekod baharu kepada syarikat.

"Pada tahun 2015, kami melancarkan inisiatif pemasaran yang sangat baik sejajar dengan slogan baru Lexus iaitu 'Amazing in Motion'. Pelbagai aktiviti pemasaran komprehensif dilaksanakan untuk mendekati pelanggan sasaran secara langsung di mana ia terbukti sangat berkesan dan berharga.

"Kita menerima maklum balas yang baik daripada pelanggan dan ini telah membantu kami untuk meningkatkan produk dan juga pengalaman pemilikan Lexus," katanya dalam kenyataan yang sama.

Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki, berkata melihat kepada trend jualan semasa, syarikat itu optimis dengan momentum jualan untuk pasaran mewah di Malaysia akan berterusan tahun ini.

"Tambahan pula, Lexus Malaysia kini mempunyai pelbagai model dengan pelancaran semua baharu Lexus RX dan penambahan Lexus LX. Kami akan meneruskan inisiatif pemasaran kami sepanjang tahun untuk pelanggan kami," katanya.

Bagaimanapun, satu lagi jenama edaran dan keluaran UMW Toyota Motor iaitu Toyota masih mampu bertahan di pasaran serba mencabar apabila merekodkan jualan keseluruhan 93,760 unit tahun lalu, lebih rendah berbanding rekod melebihi 100,000 unit tahun sebelumnya.

"Model Toyota mencapai jualan 93,760 unit di tengah-tengah situasi pasaran mencabar yang mana sebahagian besar disumbangkan oleh model popularnya, Toyota Vios dengan jualan hampir 34,000 unit.

"Model popular lain adalah Hilux double cab dan Corolla Altis masing-masing dengan 24,000 dan 8,000 unit.

"Selain itu, Camry Hybrid, model hibrid pertama pemasangan tempatan (CKD) juga menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 5,000 unit dijual," kata Takeyama.

Tahun lalu, UMW Toyota Motor berjaya merekodkan jualan keseluruhan 95,861 unit bagi model Toyota dan Lexus meskipun berdepan persekitaran pasaran automotif tidak menentu susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta ekonomi perlahan ekoran kejatuhan nilai ringgit.

Berita Harian X