Ahad, 12 Oktober 2014 | 4:02pm

GP Jepun: Marquez kekal mahkota kejuaraan MotoGP


MARC Marquez melompat di atas podium selepas mengekalkan mahkota kejuaraan MotoGP selepas mendapat tempat kedua dalam perlumbaan Grand Prix Jepun, hari ini. Penunggang dari Sepanyol itu berjaya meraih gelaran dunia buat kali keempat dalam tempoh lima tahun bersama Honda di Litar Motegi. - Foto Reuters

TOKYO: Marc Marquez mengekalkan mahkota kejuaraan MotoGP selepas mendapat tempat kedua dalam perlumbaan Grand Prix Jepun, hari ini.

Penunggang dari Sepanyol itu berjaya meraih gelaran dunia buat kali keempat dalam tempoh lima tahun bersama Honda.

Marquez dari Catalan kini berjaya menjuarai setiap kelas disertai bermula dengan gelaran dunia 125cc pada 2010 sebelum mahkota Moto2 pada 2012 dan kini gelaran MotoGP secara berturut-turut.

Dengan mengutip 20 mata untuk mendapat di tempat kedua di Litar Motegi di sini, Marquez, 21, kini melebarkan pendahuluan ke atas

Valentino Rossi dari Yamaha serta rakan senegara dan sepasukan, Dani Pedrosa kepada 82 mata dengan baki tiga perlumbaan.

"Saya amat gembira dapat menang gelaran di halaman Honda. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya dan pasukan yang memberi motivasi dan bahan terbaik untuk memenangi gelaran dunia," Marquez.


PENUNGGANG Yamaha dan bekas juara berganda dunia, Jorge Lorenzo (tengah) mengesahkan kejuaraan di GP Jepun bergambar bersama Marc Marquez (kiri) yang meraih tempat kedua dan Valentino Rossi di tempat ketiga di Litar Motegi, hari ini. - Foto AFP

Penunggang Yamaha dan bekas juara berganda dunia, Jorge Lorenzo mengesahkan kejuaraan di GP Jepun dengan kepantasan 1.638 saat mengatasi Marquez yang memintas Rossi ketika berbaki lapan pusingan untuk muncul naib juara.

Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut untuk Lorenzo selepas kejayaan di GP Aragon, bulan lalu.

Penunggang dari Sepanyol kini sudah mengumpul 312 mata, musim ini dengan dan Pedrosa, 230 manakala Lorenzo di tangga keempat dengan tiga mata di belakang. Setiap perlumbaan berniai 25 mata. - AFP

Berita Harian X