Isnin, 4 Januari 2016 | 1:30pm

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dirempuh kereta

BAGAN SERAI: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut apabila mangsa yang dikatakan terjatuh dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Gula, Gunung Semanggol, berhampiran Kilang Kelapa Sawit Sime Darby di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, mangsa Mohd Hisham Abdul Hamid, 37, maut di tempat kejadian akibat parah pada kepala dan beberapa bahagian badan.

Katanya, mangsa dari Kulim, Kedah, dalam perjalanan pulang ke Kulim bersama empat lagi rakannya selepas menikmati hidangan 'ketam lembut' di Restoran Terapung Kuala Gula.

"Dalam perjalanan pulang, motosikal yang ditunggang mangsa mengalami kerosakan dan ditunda secara bergilir oleh empat lagi rakannya.

"Bagaimanapun, setiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dikatakan mengalami kerosakan dan tersentak-sentak sehingga mangsa gagal mengawal motosikalnya dan terjatuh ke tengah jalan sebelum dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun.

"Rempuhan tepat pada kepala serta tubuh mangsa menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987 dan siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Berita Harian X