Jumaat, 1 Januari 2016 | 12:46pm

MPSPK sita 148 premis gagal bayar cukai pintu

SUNGAI PETANI: Sebanyak 148 premis disita Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) membabitkan nilai kira-kira RM1 juta sepanjang tahun lalu.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam MPSPK, Zubaidah Hanoom Mohd Yusof, berkata premis yang disita membabitkan kediaman dan rumah kedai.

"MPSPK sangat serius mengutip tunggakan cukai pintu yang belum diselesaikan oleh pemilik premis. Dalam usaha mengurangkan tunggakan, MPSPK sudah menjalankan Ops Sita ke atas 148 premis yang gagal melunaskan tunggakan dalam tempoh ditetapkan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, tunggakan cukai pintu sehingga 30 November lalu berjumlah RM35.6 juta membabitkan cukai premis bangunan iaitu RM29.6 juta dan cukai lot kosong (RM6juta).

"Sebanyak RM8.6 juta kutipan tunggakan daripada RM35 juta jumlah tunggakan awal tahun lalu berjaya dikutip oleh MPSPK," katanya.

Beliau menasihati pemilik premis dan lot kosong supaya membuat pembayaran dalam tempoh ditetapkan bagi mengelak harta benda disita.

"Jika pemilik menghadapi sebarang masalah berhubung bayaran, mereka boleh datang ke pejabat MPSPK dan melakukan perbincangan supaya pihak kami dapat mempertimbangkannya bagi mengelak harta benda mereka tidak disita," katanya.

Zubaidah Hanoom berkata, pembayaran cukai pintu boleh dilakukan di kaunter terpilih termasuk di pejabat MPSPK yang dibuka setiap hari bermula Januari sehingga Februari dari jam 8 pagi hingga jam 4.30 petang.

Selain itu, pembayaran juga boleh dibuat di kaunter pembayaran luar seperti di pusat beli-belah terpilih, secara dalam talian iaitu di www.mpspk.gov.my atau koisk bayaran di ruang pejabat MPSPK.

"MPSPK menyediakan pelbagai hadiah istimewa termasuk 30,000 payung kepada pembayar terawal pada tahun ini," katanya.

Berita Harian X