Rabu, 30 Disember 2015 | 12:01am
NORAZWARI 'bertemu' bakat melukis dalam dirinya selepas diserang angin ahmar. - Foto Saifullizan Tamadi.
NOOR Baiti Razalli, terus memberikan galakan kepada suaminya untuk terus berkarya. - Foto Saifullizan Tamadi.

Bakat melukis selepas strok


DUGAAN kehilangan keupayaan anggota badan sebelah kanan akibat diserang angin ahmar pada awal pagi 26 September 2013, 'menemukan' Md Norazwari Md Yusof dengan bakat melukis yang tidak pernah disedarinya.

Cinta baharu terhadap bidang seni lukis itu 'melepaskan' Md Norazwari daripada kesakitan dan kesukaran yang dialami selepas saluran darah otak kirinya pecah, yang menyebabkannya terbaring di katil selama tiga bulan.

Masih lagi sukar untuk bertutur, termasuk pergerakan yang perlahan, Md Norazwari mengesan kebolehannya melukis pada April lalu selepas diberi galakan oleh isteri, Nor Baiti Razalli, yang tekun menjaganya.

"Saya tidak pernah melukis sebelum ini. Lukisan pertama yang saya hasilkan ialah pemandangan jalan raya yang ditiru daripada gambar yang diberi oleh isteri, kira-kira lapan bulan lalu.


NORAZWARI mula menghasilkan lukisan setelah hilang upaya anggota badan sebelah kanan akibat diserang angin ahmar. - Foto Saifullizan Tamadi.

"Hasil galakan dan dorongan semangat oleh isteri, saya kini giat berguru dengan guru seni lukis, Nor Azlan Ahmad, bagi menajamkan kemahiran dalam seni lukisan," katanya ketika ditemui pada Pameran Art Market Malaysia, Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jualan seni selama dua hari anjuran Soriata Enterprise (Soriata) itu, memaparkan hasil seni daripada 100 seniman, termasuk 10 daripadanya pelukis kelainan upaya.

Md Norazwari yang meminati lukisan landskap, abstrak dan khat yang dihasilkan bersama isterinya berkata, minat kepada seni lukis memberi kesan positif pada otak kirinya, yang cedera akibat serangan angin ahmar.

"Seni lukis berperanan sebagai terapi bagi membolehkan saya kembali sihat seperti sebelum serangan penyakit itu berlaku.


NORAZWARI bersama lukisannya di Art Market Malaysia di Kompleks Kraf. - Foto Saifullizan Tamadi.

"Meskipun belum pulih sepenuhnya, saya kini sudah boleh kembali bertutur dan bergerak. Untuk meneruskan momentum, saya perlu menghasilkan sekurang-kurangnya dua lukisan sehari," katanya yang kini menjadi artis residen bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kota Tinggi, Johor, Art Geng.

Lukisan Md Norazwari boleh dibeli dengan melawati akaun Instagram, azwari_strokesurvivor serta akaun Facebook (Azwari Yusof).

Sementara itu, pameran seni berkenaan turut memaparkan karya seni penghidap autisme, Anthony Lee Weng Chong, yang kini berusia 27 tahun.

Kata ibunya, Helen L M Chin, Weng Chong telah menghasilkan 100 lukisan sejak berusia lima tahun, malah lukisan pertamanya dibeli pelancong dari Perancis beberapa tahun lalu di Pasar Seni, Kuala Lumpur.


HELEN L M Chin, Art Market Malaysia di Kompleks Kraf. - Foto Saifullizan Tamadi.

M Chin berkata, perlakuan sebagai penghidap autisme kadangkala sukar dikawal tetapi melukis dapat membantunya untuk menenangkan anak bongsu daripada dua adik-beradik itu.

"Saya mula menyedari bakat Weng Chong dalam seni lukis selepas beliau terlalu asyik menconteng dinding setiap kali mempunyai masa lapang.

"Disebabkan mahu beliau mengasah bakat yang ada, saya menghantarnya ke kelas seni lukis ketika usianya baru mencecah tujuh tahun.

"Weng Chong mempunyai pertuturan yang sangat terhad tetapi aktiviti melukis memberi ruang kepadanya untuk ekspresi diri sehingga menjadi lebih tenang dan sangat fokus," katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek Soriata, Hazrita Mohd Hatta, berkata jualan seni itu lebih bersifat tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan syarikat berkenaan bagi membantu seniman tempatan, termasuk mereka yang kurang upaya.


PELUKIS istimewa, Anthony Lee bersama ibunya Helen L M Chin dengan hasil lukisan yang dihasilkan di Art Market Malaysia di Kompleks Kraf. - Foto Saifullizan Tamadi.

"Kebanyakan yang terbabit dalam jualan seni ini terdiri daripada kalangan pelukis amatur, termasuk penghidap strok dan autisme tetapi mempunyai bakat besar dalam seni lukis," katanya.

Art Market Malaysia sebagai projek perintis Soriata itu, menjual pelbagai hasil seni daripada lukisan, batik dan kraf pada serendah RM50 sehingga RM5,000.

Berita Harian X