Isnin, 28 Disember 2015 | 12:06am

Apple Watch ceriakan hidup


APLIKASI WaterBalance membolehkan pengguna Apple Watch mengetahui tahap kandungan air yang diminum setiap hari.

JAM tangan pintar keluaran Apple, Apple Watch kini menjadi antara koleksi peribadi yang menyeronokkan.

Penggunanya pasti berpuas hati apabila memiliki peranti itu, apatah lagi ia boleh dihubungkan dengan iPhone.

Apple Watch bukan produk asing di Malaysia, malah ia sudah pun dijual secara meluas sejak April lalu pada harga bermula dari AS$349 (RM1,489).

Namun, penggunaan Apple Watch kini lebih meluas bukan saja hanya menghubungkan aplikasi mesej dan panggilan masuk dari telefon bimbit penggunanya, malah pelbagai lagi.

Dengan teknologi yang ada di Apple Watch, penggunanya kini boleh memuat turun beberapa aplikasi yang akan membantu kehidupan seharian mereka menjadi lebih bermakna dan mudah.

Pelbagai aplikasi boleh dimuat turun, antaranya seperti Dark Sky, yang membantu pengguna untuk melihat ramalan suhu serta cuaca sama ada hujan atau tidak setiap hari menerusi peranti jam itu. Lebih menarik, maklumat dikongsi itu dikemasckini setiap masa.

Malah, bagi mereka yang ingin mengetahui tahap kandungan air yang diminum setiap hari, aplikasi WaterBalance akan membantu memberi maklumat itu secara langsung dari pergelangan tangan.

Lebih bermakna lagi, dengan Apple Watch juga, pengguna boleh melayari laman sosial Instagram terus di paparan skrin peranti tanpa perlu membuka atau menghubungkannya dengan telefon bimbit.


PENGGUNA Apple Watch boleh memuat turun beberapa aplikasi yang akan membantu kehidupan seharian mereka.

Bagi mereka yang memerlukan pergerakan pantas dan tidak berminat menggunakan perkhidmatan teksi, aplikasi Uber turut tersedia dalam peranti jam itu, tanpa perlu anda mengeluarkan telefon bimbit untuk berurusan bagi mendapatkan perkhidmatan pengangkutan.

Selain itu, bagi kaki wayang, aplikasi Fandango Apple Watch akan membantu mendapatkan maklumat mengenai tayangan filem kegemaran, termasuk memberi maklumat mengenai status tempahan tiket yang telah dibuat lebih awal.

Di samping itu, Aplikasi Pocket Yoga turut tersedia bagi mereka yang ingin melakukan senaman di rumah tanpa perlu menonton televisyen mahu pun melayari video. Peranti itu turut menyediakan maklumat mengenai jumlah kalori.

Semua aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma, hanya Pocket Yoga berbayar iaitu AS$2.99 (RM12.80)

Berita Harian X