Ahad, 27 Disember 2015 | 7:20pm

Timbang semula penangguhan syarat wajib lulus BI


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi bergambar bersama, ibu bapa, guru-guru dan murid-murid pada Program Penyampaian Sumbangan Murid Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) DUN Sungai Panjang di Homestay Parit 1, Sungai Haji Dorani, di Sungai Besar, hari ini. - Foto Mohd Shukor Amin

SUNGAI BESAR: Kementerian Pendidikan diminta menimbangkan semula penangguhan perlaksanaan syarat wajib lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana keperluannya dalam sektor pekerjaan.  

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi, berkata secara realiti, semua rakyat negara ini seharusnya bersedia untuk menerima Bahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus SPM memandangkan kebanyakan industri menggunakan bahasa itu untuk tujuan komunikasi.  

Justeru itu, katanya, kerajaan perlu mengkaji semula penangguhan cadangan pelaksanaan syarat itu dalam mengharungi cabaran menguasai Bahasa Inggeris terutama dalam kalangan pekerja di negara ini.  

"Semakin lama Bahasa Inggeris makin penting untuk pekerjaan. Kita bukan menidakkan Bahasa Melayu tapi apabila berhubung dan berkomunikasi majoriti industri menggunakan Bahasa Inggeris," katanya.  

Beliau berkata demikian pada Program Penyampaian Sumbangan Murid Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) DUN Sungai Panjang di Homestay Parit 1, Sungai Haji Dorani, di sini, hari ini. 

Budiman berkata, kerajaan seharusnya mempunyai pendirian yang lebih konsisten berhubung sesuatu perlaksanaan itu kerana tidak mahu pelajar dijadikan eksperimen sebelum sesuatu dasar itu diputuskan.  

"Saya fikir dengan sistem pendidikan kini sudah cukup baik, perlaksanaan ini perlu diteruskan. Jika ada masalah selepas ia dilaksanakan mungkin bukan membabitkan kaedah perlaksanaannya tetapi bagaimana anak-anak ini boleh terima penggunaan Bahasa Inggeris," katanya.  

Bulan lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan menangguh pelaksanaan mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) sebagai wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 bagi memberi ruang dan peluang kepada guru serta pelajar membuat persediaan rapi.

Berita Harian X