Jumaat, 10 Oktober 2014 | 9:25pm
ANTARA buah-buahan yang dijual di Pasar Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur. Semua jenis buah-buahan tempatan dan import adalah salah satu penambahan barangan yang tidak dikenakan GST dalam pembentangan Bajet 2015. - Foto Sairien Nafis

Bajet 2015: Skop barangan tidak dikenakan GST diperluas - Najib

KUALA LUMPUR: Daripada 944 barang dan perkhidmatan yang terdapat di dalam kumpulan barangan, Indeks Harga Pengguna (IHP), 532 barang atau 56 peratus dijangka mengalami penurunan harga sehingga 4.1 peratus selepas pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, antara produk berkenaan adalah ubat-ubatan, barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh, produk tekstil, barangan plastik seperti baldi dan pinggan mangkuk, kasut dan selipar, perabot rumah, lampin bayi, sabun, daging, telur ayam, minyak masak, makanan laut, beras dan sayur-sayuran.

"Sementara sekitar 354 jenis barang dan perkhidmatan akan mengalami kenaikan harga tidak melebihi 5.8 peratus. Apa yang penting, kerajaan berharap para peniaga bersifat bertanggungjawab dengan tidak meningkatkan harga sehingga membebankan rakyat.

"Untuk memudahkan rakyat, kerajaan akan mengeluarkan 'shoppers guide' bagi membolehkan mereka membuat perbandingan harga sebelum dan selepas GST," katanya membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, ketika pengumuman GST sewaktu pembentangan Bajet 2014 lalu, kerajaan mencadangkan senarai barang makanan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan GST.

Maka berdasarkan kepada maklum balas pelbagai lapisan masyarakat, kerajaan setuju untuk meluaskan skop barang yang tidak dikenakan GST. Antara penambahannya adalah:

(i) Semua jenis buah-buahan tempatan dan diimport

(ii) Roti putih dan roti wholemeal;

(iii) Serbuk kopi, serbuk teh dan serbuk koko;

(iv) Mi kuning, kue tiau, laksa dan bihun;

(v) Ubat-ubatan Penting Nasional yang meliputi hampir 2,900 jenama ubat. Ubat-ubatan ini adalah bagi kegunaan rawatan untuk 30 jenis penyakit termasuk sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, kanser dan rawatan kesuburan;

(vi) Bahan bacaan seperti buku mewarna kanak-kanak, buku latihan dan rujukan, buku teks, kamus dan kitab agama; dan

(vii) Surat khabar.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar penggunaan elektrik yang tidak dikenakan GST daripada 200 unit kepada 300 unit pertama. Ini bermakna, sebanyak 70 peratus isi rumah akan mendapat manfaat langsung.

Di samping itu, Najib berkata, bagi memastikan pelaksanaan GST tidak membebankan rakyat, kerajaan bersetuju supaya penjualan runcit minyak petrol RON95, diesel dan LPG diberikan pelepasan GST.

"Melalui langkah ini, pengguna dan kumpulan sasaran yang berkenaan tidak perlu membayar GST bagi pembelian petrol RON95, diesel dan LPG," katanya.

Berita Harian X