Khamis, 24 Disember 2015 | 11:46pm

Sektor automotif dijangka kurang memberangsangkan tahun depan

KUALA LUMPUR: Sektor automotif negara dijangka mencatat prestasi kurang memberangsangkan tahun depan disebabkan permintaan yang agak lembab susulan nilai ringgit yang lemah.

Menurut MIDF Research, walaupun sektor automotif mencatatkan pertumbuhan untuk bulan keempat berturut-turut pada November lalu, ia jangka hanya bersifat sementara kerana jumlah jualan meningkat disebabkan pembelian menjelang kenaikan harga.

"Kajian kami mendapati ramai pengguna segera membuat pembelian kenderaan berikutan pengumuman kenaikan harga oleh beberapa syarikat pengeluar dan pengedar kenderaan menjelang Januari depan bagi menampung kenaikan kos akibat kejatuhan nilai ringgit," katanya dalam nota penyelidikan.

Cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu, menjelaskan kejatuhan nilai ringgit menyebabkan syarikat automotif terpaksa menanggung kenaikan kos bagi komponen dan alat ganti yang diimport, sekali gus terpaksa meningkatkan harga jualan kenderaan mereka.

Katanya, keadaan itu sama dengan ketika menjelang pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada April tahun ini, yang menyebabkan pengguna mempercepatkan pembelian.

Keadaan itu menyaksikan jualan keseluruhan industri (TIV) jatuh antara lapan peratus hingga 23 peratus pada bulan berikutnya berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

"Ramai pengguna menyegerakan pembelian bagi mengelakkan kenaikan harga itu sambil promosi jualan hujung tahun turut mendorong pembelian terbabit," tambah firma penyelidikan itu.

TIV setakat November lalu adalah sebanyak 597,230 unit dan jumlah itu masih kurang kira-kira satu peratus berbanding tempoh sama pada 2014, walaupun jumlah jualan kenderaan mencatatkan peningkatan pada suku pertama tahun ini, didorong oleh peningkatan pembelian menjelang pelaksanaan GST.

Lebih buruk lagi apabila beberapa syarikat mengumumkan kenaikan harga berkuat kuasa pada 2016, termasuk Toyota dan Lexus, yang membayangkan kenaikan empat peratus hingga 16 peratus, Honda antara dua peratus hingga tiga peratus dan Mitsubishi antara dua peratus hingga tujuh peratus.

Pengeluar kereta nasional, PROTON Holdings Bhd juga membayangkan kenaikan harga untuk model Proton mulai Januari 2016, namun tidak menyatakan kadarnya.

MIDF Research berkata, pihaknya meramalkan TIV tahun ini adalah antara 655,000 hingga 659,000 unit, penurunan antara satu peratus dan 1.5 peratus berbanding tahun lalu.

"Kami menjangkakan pertumbuhan konservatif satu peratus untuk TIV tahun 2016 iaitu sebanyak 666,000 unit, tetapi kami kekal berhati-hati mengambil kira kenaikan harga yang bakal berlaku dan peningkatan ketara dalam kos ekoran kadar pertukaran mata wang yang semakin teruk," katanya.

Katanya, segmen kereta bukan nasional menyaksikan saingan sengit, yang mana walaupun Toyota menerajui penguasaan pasaran pada November dengan 17 peratus, namun Honda masih pengeluar bukan nasional terbesar bagi tahun ini.

"Honda dan Mazda menikmati kelebihan kerana mereka menjadi sebahagian daripada syarikat kumpulan pertama layak untuk Program Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Dari segi kos duti, ini memberikan mereka kelebihan ketara dari segi kos dan harga berbanding pengeluar bukan nasional lain," katanya.

Berita Harian X