Rabu, 23 Disember 2015 | 6:38pm
PASUKAN Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) menahan 23 individu dan merampas pelbagai peralatan kegiatan judi haram dalam operasi di sekitar Bangi, Kajang dan Subang Jaya, Selangor‎ serta Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto NSTP

STAGG tahan 23 individu terbabit judi


PASUKAN Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) menahan 23 individu dan merampas pelbagai peralatan kegiatan judi haram dalam operasi di sekitar Bangi, Kajang dan Subang Jaya, Selangor‎ serta Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Seramai 23 individu dipercayai terbabit dengan perjudian haram, ditahan dalam tujuh serbuan berasingan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan malam tadi.

Serbuan serentak jam 10 malam oleh Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman turut merampas 125 komputer, dokumen, peralatan internet, sampul surat, dua dadu, mangkuk, piring, meja, kerusi, 42 daun terup, 2,730 chip dan wang tunai RM12,756.

Ketua Penolong Pengarah STAGG, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata semua yang ditahan hasil maklumat awam dan risikan itu berusia antara 20 hingga 45 tahun.

"Siasatan awal mendapati premis yang menganjurkan kegiatan judi itu beroperasi sejak sebulan lalu.

"Kebanyakan premis dipasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kehadiran pihak berkuasa.

"Selain judi secara dalam talian, STAGG turut menyerbu sebuah mini kasino di Port Dickson dan mendapati penganjur pusat judi ini membuka premisnya sebagai alternatif untuk kaki judi melepaskan ketagihan berjudi berikutan polis kerap membuat serbuan ke atas premis judi secara dalam talian," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Berita Harian X