Rabu, 23 Disember 2015 | 10:56am

Bot karam di Belaga, 4 penumpang hilang

BINTULU: Empat penumpang termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun hilang manakala lima sempat diselamatkan dalam kejadian bot karam di Sungai Rajang berhampiran Rumah Panjang Long Buyun di Belaga dekat di sini, jam 8.30 malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufiyan Borhan, berkata bot dinaiki sembilan penumpang itu dalam perjalanan dari pekan Belaga ke Rumah Panjang Tanjung untuk sambutan Krismas.

Katanya, berdasarkan maklumat terkini, empat mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Sumitasen Thomas,15; Adriana Rosnah,12; Sahirza Mahir, 31, dan Nur Amirsha, 4.

Mereka yang terselamat adalah pemandu bot, Liam Kelilit, 50; Bungan Nyaleng, 50; Agnes Liam, 33; Olivia Ploma Thomas, 8, dan Ayu, 4.

"Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Bagaimanapun, operasi tidak dapat dilakukan malam tadi kerana cuaca gelap dan arus sungai agak kuat, menyebabkan operasi pencarian empat mangsa cuma dapat dilakukan pagi ini," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Katanya, lima mangsa sempat keluar sejurus bot panjang berkenaan karam sebelum diselamatkan penduduk setempat.

"Insiden berlaku di lokasi sama sebuah bot ekspres karam tahun lalu. Operasi SAR ketika ini diperluaskan di sepanjang sungai berkenaan," katanya.

Farhan berkata, pihaknya meneliti keperluan penggunaan helikopter bagi membantu kelancaran operasi, sekali gus membolehkan kawasan pencarian keempat-empat mangsa diperluaskan,

Berita Harian X