Selasa, 22 Disember 2015 | 4:12pm

Kerajaan belum putuskan rasionalisasi subsidi barangan lain


TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani. - Foto Fariz Iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani menyangkal dakwaan kerajaan memperluaskan rasionalisasi subsidi kepada beras dan minyak masak.

Katanya, setakat ini rasionalisasi itu hanya membabitkan gula dan bahan api iaitu petrol dan diesel.

"Kerajaan belum membuat keputusan membabitkan barangan lain," katanya kepada pemberita selepas Perasmian Pusat Pemprosesan Maklumat (PPM) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia di Bangi, dekat sini hari ini.

Sementara itu, Johari berkata, ekonomi Malaysia masih kukuh sekalipun menghadapi persekitaran ekonomi lebih mencabar dengan pertumbuhan ekonomi global sederhana dan kejatuhan harga komoditi serta ketidaktentuan pasaran kewangan.

Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar dijangka bertumbuh sekitar 4.5 dan 5.5 peratus tahun ini dan diunjur terus bertumbuh walaupun dalam kadar lebih rendah sekitar empat dan lima peratus.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan dianggar memperoleh hasil sekitar RM222.5 bilion tahun ini dengan cukai langsung menyumbang RM116.8 bilion, cukai tidak langsung RM53.3 bilion dan hasil bukan cukai sebanyak RM52.4 bilion.

"Kerajaan juga komited dalam usaha konsolidasi fiskal bagi mengurangkan defisit ke arah mencapai bajet berimbang serta memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.

"Defisit kerajaan dijangka terus berkurang daripada 3.2 peratus KDNK pada tahun ini kepada kadar 3.1 peratus pada tahun depan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Mohd Shukor Mahfar, berkata rakyat harus menerima hakikat bahawa Malaysia masih bergantung kepada hasil cukai.

Katanya, 60 hingga 70 peratus daripada keperluan bajet tahunan negara ini dibiayai oleh hasil kutipan cukai.

- BERNAMA

Berita Harian X