Selasa, 22 Disember 2015 | 10:20am

Saham Asia dibuka kukuh

TOKYO: Saham Asia naik susulan kenaikan di Wall Street, sungguhpun kenaikan dihadkan oleh jumlah dagangan rendah dan kejatuhan harga minyak Brent menjelang cuti pada hujung minggu.

Indeks meluas MSCI merangkumi saham utama Asia-Pasifik di luar Jepun naik 0.1 peratus pada awal dagangan, selepas Wall Street mencatat kenaikan kukuh semalaman susulan kejatuhan minggu sebelumnya.

Indeks Nikkei susut 0.2 peratus pada awal dagangan. Pasaran AS dan Eropah akan ditutup Jumaat bagi cuti Krismas. Sementara Krismas bukan cuti umum di Jepun, pasaran akan ditutup pada Rabu bagi memperingati hari ulang tahun rajanya.

Dagangan hadapan minyak mentah Brent jatuh ke paras rendah AS$36.04, paras terendah sejak Julai 2004, berikutan permintaan bagi minyak pemanas bangunan yang lembap kerana cuaca yang lebih panas daripada jangkaan.

Dagangan hadapan minyak mentah AS naik 0.1 peratus kepada AS$35.85, berada di atas paras rendah 2009.

"Harga minyak berkemungkinan jatuh di bawah AS$30 satu tong tetapi kita tidak menyaksikan ia jatuh melepasi paras itu dan menjelang hujung tahun kita jangka harga ditutup menghampiri AS$40," kata Kathy Lien, pengarah urusan di BK Asset Management di New York.

Beliau berkata, apabila dolar memuncak, komoditi akan mencapai paras dasar.

Dalam jangka panjang, katanya dalam satu nota kepada pelanggan, "Tumpuan China kepada permintaan domestik dijangka positif bagi harga tenaga."

Indeks dolar, yang menjejaki dolar AS berbanding enam mata wang utama, kukuh pada 98.463, tetapi di bawah paras tertinggi dua minggu 99.294 pada Khamis.

Dolar menokok kira-kira 0.1 peratus kepada 121.21 yen, manakala euro diniagakan mendatar pada AS$1.0911.

Euro menokok dalam pemulihan singkat pada Isnin susulan pilihan raya hujung minggu di Sepanyol, sungguhpun tiada parti mendapat mandat jelas dalam ekonomi keempat terbesar di zon euro itu.

Emas semerta kukuh pada AS$1,077.96 satu auns selepas menokok 1.2 peratus pada Isnin dan 1.4 peratus pada Jumaat berikutan pelabur mengambil posisi pendek menjelang cuti pada hujung minggu. - Reuters

Berita Harian X