Isnin, 21 Disember 2015 | 9:27pm

PNB, Rahim & Co jalan kerjasama strategik

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB), pemilik syarikat pengurusan unit amanah terbesar negara, menjalin pembentukan strategik dengan Rahim & Co dalam usaha menerokai kerjasama secara sinergi yang berpotensi bagi kedua-dua pihak.

Pembentukan strategik itu membabitkan pengambilalihan 49 peratus saham Rahim & Co, iaitu firma perunding hartanah terbesar di Malaysia oleh PNB.

PNB menerusi kenyataannya menyatakan, struktur perkongsian berkenaan sudah dimuktamadkan berikutan pengumuman yang dibuat pada Februari 2015 lalu.

Katanya, perkongsian strategik itu dijangka dapat meningkatkan lagi aktiviti pengurusan hartanah PNB, selain turut memberi manfaat kepada Rahim & Co.

"Bersandarkan keupayaan penyelidikan Rahim & Co yang mantap, ia akan membantu mengukuhkan aktiviti pelaburan dan perniagaan PNB dalam keseluruhan rantaian nilai harta tanah, merangkumi pembangunan dan pelaburan hartanah serta perniagaan hospitaliti.

"Kerjasama dengan Rahim & Co juga adalah sebahagian usaha berterusan PNB dalam menyokong pembangunan syarikat milik Bumiputera dengan potensi pertumbuhan," tambah kenyataan itu.

PNB adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan dengan kepentingan portfolio dipelbagaikan, termasuk pengurusan aset, unit amanah, amanah harta institusi dan pengurusan hartanah kini mengurus aset bernilai RM274 bilion, mengambil kira dana proprietarinya.

Rahim & Co yang ditubuhkan pada tahun 1976, mempunyai rekod prestasi kukuh dan kepakaran yang terbukti dalam pelbagai perkhidmatan berkaitan hartanah, termasuk penilaian hartanah, pengurusan aset dan fasiliti, agensi hartanah dan penyelidikan serta perundingan hartanah.

Berita Harian X