Sabtu, 19 Disember 2015 | 11:25pm

Adorable jaminan Rita Rudaini


RITA kini tampil dengan perniagaan produk minyak wangi dengan jenama Adorable by Rita Rudaini.

SHAH ALAM: Bidang perniagaan bukan perkara baharu buat Rita Rudaini. Sejak beberapa tahun lalu, ibu kepada Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna ini sudah menjalankan perniagaan produk kecantikan dan penjagaan kulit.

Terkini, pelakon kelahiran Perlis itu tampil dengan minyak wangi pula di bawah jenama Adorable by Rita Rudaini.

Hadir dalam dua haruman iaitu Stunning dan Classy, minyak wangi uniseks ini dijual pada harga RM49.90 dalam botol 35 milileter.

Rangkaian haruman Rita dilancarkan hari ini ketika berlangsungnya Bazaar Lepak Village People di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Sukan Selangor

"Ikutkan, perniagaan minyak wangi ini sudah lama saya idamkan untuk direalisasikan. Tambah pula saya antara penggemar minyak wangi.

"Saya suka minyak wangi oud dari negara Arab. Alhamdulillah, selepas dua tahun bauan yang diidamkan ditemui juga. Gembiranya bukan kepalang dan sebab itu juga saya bersedia untuk lancarkannya hari ini. Ini impian saya yang sudah lama terbantut dan menjadi kenyataan juga," katanya kepada BH Online.


RITA melayan peminatnya pada Majlis Pelancaran Adorable by Rita Rudaini.

Bercerita lanjut mengenai bauan minyak wangi oud Arab, Rita berkata, beliau menggemari bau minyak wangi itu, yang dibelinya ketika mengerjakan umrah.

"Saya tinggalkan minyak wangi komersial kerana minyak wangi oud Arab itu, malah memesan wangian ini jika ada rakan yang ke sana," katanya sambil menambah Adorable memiliki bauan yang hampir sama.

Selain itu, Rita berkata, perniagaan juga adalah sebagai jaminan masa depan buatnya dan anak.

"Untung nasib saya sebagai pelakon tak siapa tahu. Sampai bila saya mampu bertahan di arena seni tak mampu ditebak, ditambah pula dengan kebanjiran bakat baharu," katanya yang akan memulakan penggambaran drama episod Ahli Mesyuarat Tingkap terbitan JS Pictures di samping Izreen Azminda dan Sherry Alhadad.

Berita Harian X