Jumaat, 10 Oktober 2014 | 8:26am

Tak boleh khayal - Lisa Surihani

LISA Surihani bakal muncul dengan filem Dendam Orang Mati. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Kali pertama Lisa Surihani terbabit di pentas teater dalam skala besar ialah menerusi teater Tun Hasmah pada 2012.

Sebelum itu, Lisa sebenarnya pernah berlakon teater kanak-kanak, www.puterigunungledang. com.my ketika berusia 15 tahun,

Tahun ini, Lisa mengukuhkan lagi trek lakonannya menerusi teater P Ramlee The Musical musim ketiga (PRTM3) pula yang akan dipentaskan sehingga 13 Oktober ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Memegang watak Junaidah, insan istimewa yang pernah bertakhta di P Ramlee sebagai isteri pertama, Lisa mengakui biarpun hanya terbabit untuk lima babak saja, ia cukup memberi tekanan. Apatah lagi melakonkan watak yang sudah tiada di dunia.

"Bukan mudah untuk merealisasikan watak ini. Tapi pada masa yang sama, saya cukup bertuah dan teruja kerana pembabitan dalam teater milik syarikat Datin Seri Tiara Jacquelina ini. Untuk watak ini, saya juga perlu menyanyi dan menari.

"Awalnya saya terfikir juga kenapa saya yang dipilih sedangkan saya bukanlah penyanyi. Dalam hati berkata, boleh ke nak menyanyi? Tapi Tiara cakap dia bukan mencari penyanyi tetapi pelakon yang boleh meluahkan nyanyian dalam melodi dengan penuh emosi.

"Harus saya akui watak ini memang benar-benar mencabar. Saya ada tiga lagu yang perlu dinyanyikan. Bayangkan setiap lagu itu membawa fasa emosi yang berbeza. Fokus saya kena tepat untuk karakter ini. Tak boleh khayal," katanya.

Lisa berkata, penonton yang hadir memang memberikan impak tersendirinya baginya ketika berada di atas pentas.

"Tenaga kita dalam merealisasikan watak di atas pentas teater boleh jadi berbeza-beza. Ia turut bergantung kepada sekeliling termasuk penonton yang hadir. Jika penonton yang hadir yang aktif dan responsif, lagi banyak tenaga dan semangat yang dapat kita tonjolkan," kata isteri kepada Yusry Abdul Halim ini.

Lisa dalam perkembangan lain akan muncul dengan filem seram Dendam Orang Mati arahan Jason Chong di samping Fizz Fairuz. Ia filem seram pertama yang dilakonkan Lisa. Untuk tempahan tiket dan info lanjut mengenai pementasan teater muzikal P Ramlee boleh layari www.tickethotline.com.my atau www.facebook.com/PRamleeMusical.

Berita Harian X