Khamis, 9 Oktober 2014 | 9:55pm
DATUK Seri Mahdzir Khalid (tengah) merasmikan Kempen Keselamatan dan Kesihatan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) 2014 di sini hari ini. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Penstrukturan air: MB Selangor perlu utamakan kepentingan rakyat - Mahdzir

SHAH ALAM: Perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air antara kerajaan negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan adalah satu perjanjian yang mengambil kira kepentingan rakyat.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengenepikan perbezaan latar belakang politik bagi memastikan masyarakat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya memperoleh bekalan air bersih mencukupi.

"Keutamaan kita ialah rakyat. Sama ada projek jangka pendek atau jangka panjang, kita berada atas landasan untuk melihat rakyat memperoleh bekalan air yang cukup," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan dan Kesihatan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) 2014 di sini hari ini.

Mahdzir mengulas tindakan Mohamed Azmin yang dikatakan telah mula meneliti perjanjian penstrukturan semula bekalan air di negeri itu selepas mengambil alih pentadbiran Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menteri Besar itu juga dilaporkan akan menghantar surat kepada Kerajaan Persekutuan bagi memohon perjanjian penstrukturan semula industri air itu dapat didedahkan kepada umum.

Ini berikutan perjanjian itu tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA) ketika ia ditandatangani Abdul Khalid.

Mahdzir berkata, pihaknya akan menunggu surat daripada Mohamed Azmin terlebih dahulu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Pada 12 September lepas, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor memeterai Perjanjian Utama bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air.

Dengan termeterainya perjanjian utama itu, Air Selangor Sdn Bhd (ASSB), sebuah entiti baharu, akan mengambil alih operasi dan penyelenggaraan loji rawatan air serta perkhidmatan pembekalan air yang sebelum ini dilakukan empat syarikat konsesi.

ASSB mengambil alih tiga syarikat konsesi air negeri Selangor iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), PNSB, Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) dan pemegang lesen perkhidmatan iaitu Konsortium Air Selangor Sdn Bhd (KASB).

- BERNAMA

Berita Harian X