Isnin, 14 Disember 2015 | 12:04am
SHIBORI berasal daripada bahasa Jepun yang bermaksud, ikat celup. - Foto Zunnur Al Shafiq
FATIMAH Chik menunjukan cara membuat Kain Batik Shiboritik di Kompleks Kraftangan Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq
SHIBORI berasal daripada bahasa Jepun yang bermaksud, ikat celup. - Foto Zunnur Al Shafiq
BAGI mendapatkan garisan yang jelas pada kain, pelbagai alatan digunakan seperti penyepit, papan lapis, klip serta seterika untuk kesan yang lebih jelas. - Foto Zunnur Al Shafiq
FABRIK unik hasil gabungan teknik Shibori dan batik. - Foto Zunnur Al Shafiq
SEBANYAK 47 rekaan produk signature Fatimah Chik sudah dihasilkan oleh Kraftangan Malaysia seperti koleksi Shiboritik beg tangan, set teko, cawan, pinggan koleksi khas dan beberapa cenderahati. - Foto Zunnur Al Shafiq
TEKNIK Shiboritik yang digunakan pada cawan. - Foto Zunnur Al Shafiq
KEMEJA yang dihasilkan dengan teknik Shiboritik. - Foto Zunnur Al Shafiq

Karya fabrik unik Shiboritik



GABUNGAN dua teknik pada satu karya, mampu memberikan impak yang cukup mengagumkan.

Inilah jelas terbukti pada Shiboritik, yang menggabungkan dua teknik seni pada fabrik iaitu shibori dan batik. 

Shibori berasal daripada bahasa Jepun yang bermaksud, ikat celup. Teknik ikat celup ini di dalam seni digunakan pada fabrik. Fabrik terbabit akan diikat untuk mendapatkan corak warna yang disapu, dicelup atau dituang.

Penggiat seni, Fatimah Chik, 68, menghasilkan kelainan dengan menggabungkan teknik shibori dan batik pada karya fabriknya.

Fatimah berkata, penghasilan shiboritik ini memerlukan penelitian yang tertib, khususnya dalam perancangan susun atur rekaan dan pengiraan tepat untuk menentukan kedudukan yang betul pada hasilnya.

Jelasnya, untuk menghasilkan satu shiboritik memakan masa yang agak panjang iaitu di antara dua hari ke tiga hari, bergantung pada rekaan serta warna yang mahu dihasilkan.


ANTARA koleksi Fatimah Chik menggunakan teknik Shiboritik di Kompleks Kraftangan Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Shibori ini juga dikenali dengan teknik lipatan. Justeru, untuk menghasilkannya, seseorang perlu merancang terlebih dulu rekaan mereka sebelum kain terbabit dilipat.

"Bagi mendapatkan garisan yang jelas pada kain, pelbagai alatan digunakan seperti penyepit, papan lapis, klip serta seterika untuk kesan yang lebih jelas.

"Seterusnya, mewarnakan kain putih itu. Kain yang sesuai untuk shiboritik ini adalah kain kapas, supaya warna mudah diserap serta kekal pada kain. Kebiasaannya, saya menggunakan kain kapas India. Ia mempunyai diameter yang lebih besar dan lebih mudah untuk merancang corak serta cop batik pada kain terbabit.

"Warna yang digunakan pula agak terhad kerana saya menggunakan warna naptol, yang menghasilkan tona warna. Hasil warna juga seakan-akan warna tanah seperti merah, kuning, hijau tua, coklat dan hitam. Ini yang membuatkan ia unik kerana penghasilan kombinasi warna eksotik," katanya ketika ditemui di Kompleks Kraf, baru-baru ini.

Sama ada mengutamakan pembuatan corak batik terlebih dulu mahupun shibori, ia terpulang kepada pilihan individu. 


FATIMAH Chik. - Foto Zunnur Al Shafiq

Wanita kelahiran Johor ini berkata, idea menggabungkan dua teknik ini timbul ketika beliau mengikuti arwah suaminya ke Hawaii pada tahun 1975.

Ketika suaminya sibuk dengan pengajian, beliau menemui banyak koleksi buku berkaitan fabrik, termasuk tenunan dan shibori di pulau peranginan itu.

"Sejak saya baca buku panduan penghasilan shibori, saya cukup tertarik. Semakin saya membaca, semakin saya sukakannya.

 

"Setelah pulang ke tanah air, saya sambung mengajar mengenai fesyen secara sambilan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan seterusnya di Institut Seni Malaysia (MIA).

 

"Sambil mengajar saya meneruskan kajian dalam bidang itu. Di samping itu saya juga gemar menggunakan blok. Kemudian, saya cuba mencari kelainan dalam hasil seni, dari situ saya mendapat ilham untuk menggabungkan shibori dan batik.


FATIMAH Chik menunjukan cara membuat Kain Batik Shiboritik di Kompleks Kraftangan Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Ketelitian pembuatannya membuatkan ia istimewa dan mempunyai nilai tersendiri. Nilai komersialnya juga tinggi sekitar RM600 dan kadang kala boleh mencecah ribuan ringgit," katanya.

Harapannya, seni ini dapat diteruskan oleh generasi muda supaya ia tidak ditelan zaman.

  

Hasil kerjasama Fatimah dengan Kraftangan Malaysia, sebanyak 150 helai rekaan baju kemeja dan selendang akan dipromosikan dan diperagakan pada sesi peragaan fesyen pada 26 dan 25 Disember ini, sempena Festival Kraf Johor.

Pengarah Unit Rekaan Kraftangan Malaysia, Faridah Salehan, berkata penghasilan produk signature atau koleksi istimewa ini adalah usaha Kraftangan Malaysia mengetengahkan produk hasil dari konsep karya catan daripada artis tempatan.

"Sebanyak 47 rekaan produk signature Fatimah Chik sudah dihasilkan oleh pihak kami seperti koleksi shiboritik beg tangan, set teko, cawan, pinggan koleksi khas dan beberapa cenderahati.


FATIMAH Chik menunjukan cara membuat Kain Batik Shiboritik di Kompleks Kraftangan Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Koleksi ini khusus menggunakan konsep karya beliau yang terkenal seperti alami, pemandangan, siri kebaya, meditation 1, bijauan dan gunungan.

"Produk yang diketengahkan ini adalah berpandukan kepada segmen produk yang dibangunkan seperti bercirikan pelancongan, hadiah dan cenderahati korporat serta fesyen dan aksesori," katanya.

INFO: Festival Kraf Johor

  • Bermula pada 24 hingga 29 Disember ini bertempat di Angsana Johor Bahru Mall, Johor.

  • Antara aktiviti yang akan diadakan adalah jualan kraf, demonstrasi dan interaktif kraf serta pameran kraf.
  • Berita Harian X