Selasa, 8 Disember 2015 | 12:43pm

Fathia Latiff rela didera


LAKONAN yang mantap dari Ogy Ahmad Daud dan Fathia Latiff.

KUALA LUMPUR: Pelakon Fathia Latiff, 28, menjelaskan beliau rela didera oleh pelakon berbakat, Fauziah Ahmad Daud bagi menjayakan pementasan teater Bawang Putih Bawang Merah yang bakal menutup tirai di Istana Budaya, di sini, hari ini.

Malah Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Latiff berkata, beliau tidak ralat diludah, dipukul dan membiarkan rambutnya ditarik oleh Ogy kerana mereka sudah merancang segala tindak tanduk ketika menjalani sesi latihan.

Tambah Fathia, ilmu yang ditimba sebagai menjayakan watak Bawang Merah adalah pengalaman berharga sepanjang berkecimpung sebagai anak seni.

"Kak Ogy adalah seorang pelakon yang amat saya sanjungi dan peluang untuk berkongsi pentas bersamanya seperti penghargaan buat saya. Kami berbincang terlebih dahulu aksi yang bakal dilakukan nanti supaya tidak mencederakan saya.


FATHIA Abdul Latiff (tengah) pada sesi latihan teater Bawang Putih Bawang Merah di Istana Budaya. - Foto Saifullizan Tamadi

"Nampak seperti saya sedang merana menanggung kesakitan, namun sebenarnya ia tidaklah sakit seperti yang dilihat. Ada teknik yang digunakan bagi menjadikan adegan-adegan itu kelihatan 'hidup.

"Malah kami turut berbincang bagi memastikan rambut palsu yang dipakai saya tidak tercabut ketika Kak Ogy menarik rambut saya. Kak Ogy banyak membantu saya menjayakan watak yang sarat dengan air mata ini," katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Fathia berkongsi kekasihnya, Aiman Hakim Ridza turut menitiskan air mata ketika menonton teater klasik arahan Erma Fatima itu.

Menurut Fathia, Aiman hampir naik ke pentas bagi menyelamatkan beliau kerana tidak sanggup melihat kekasihnya terseksa.

"Tergelak saya apabila Aiman berkongsi dia menitiskan air mata ketika hadir menonton teater Bawang Putih Bawang Merah. Jauh di sudut hati saya terharu kerana Aiman tidak sanggup melihat saya terseksa, namun ia membuktikan adegan itu meninggalkan kesan di hati penonton

"Aiman juga turut memuji lakonan saya kerana beliau berpendapat kemunculan saya kali ini lebih baik berbanding ketika saya menjayakan watak Bidasari untuk teater sebelum ini," kata Fathia.

Teater Bawang Putih Bawang Merah diarahkan oleh Erma Fatima turut menampilkan barisan pelakon seperti Ogy Ahmad Daud, Fazlina Ahmad Daud, Juliana Evans, Beto Kusyairi, Nabila Huda, Ungku Ismail dan Dafi.

Ia sedang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 3 sehingga 8 Disember (hari ini).

Berita Harian X