Selasa, 8 Disember 2015 | 9:04am
NOR Shuhaida Mohd Ali (kerusi roda) menunjukkan sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dalam Tekstil dan Pakaian (Pembuatan Pakaian Wanita) yang diterima kepada rakanya di Majlis Konvokesyen kali ke- 4 Sistem Latihan Dual Nasional Peringkat Negeri Perak 2015, di Dewan Seri Perdana Kolej Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah Ulu Kinta. - Foto L.Manimaran

OKU lumpuh bina kerjaya sebagai tukang jahit


PENGERUSI Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.menyampaikan sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dalam Tekstil dan Pakaian (Pembuatan Pakaian Wanita kepada Nor Shuhaida Mohd Ali (kerusi roda), di Majlis Konvokesyen kali ke- 4 Sistem Latihan Dual Nasional Peringkat Negeri Perak 2015, di Dewan Seri Perdana Kolej Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah Ulu Kinta. - Foto L.Manimaran

IPOH: "Bertahun-tahun terlantar sakit, majikan lama saya memberi semangat supaya meneruskan impian menjadi tukang jahit berjaya," kata Nor Shuhaida Mohd Ali, yang lumpuh selepas terbabit kemalangan motosikal empat tahun lalu.

 

Nor Shuhaida, 26, antara 376 penerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam Majlis Konvokesyen Kali Keempat Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di Kolej Sains Bersekutu Sultan Azlan Shah Ulu Kinta, di sini semalam.

 

Beliau yang menerima SKM dalam bidang tekstil dan pakaian lumpuh dari bahagian pinggang hingga ke kaki selepas terbabit kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

 

Katanya, susulan kemalangan itu, beliau terlantar dan tidak dapat bergerak serta hanya berada di rumah selama empat tahun.

 

"Namun, tiga bulan lalu bekas majikan tempat saya bekerja, Norlela Idris, datang ke rumah dan menawarkan saya bekerja semula di kedai jahitannya di Kampung Gajah.

 

"Malah, beliau turut menawarkan diri menjemput dan menghantar saya ke rumah dari tempat kerja selain menaikkan semangat saya untuk mengambil SKM dan sedia membantu meskipun saya sudah jadi Orang Kelainan Upaya (OKU)," katanya.

 

Nor Shuhaida berkata, bantuan majikannya itu tidak akan disia-siakan dan akan memanfaatkan peluang itu sebaik mungkin bagi membuktikan seorang OKU pun boleh berjaya.

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia, Nidzam Kamarulzaman berkata, 70 peratus graduan yang mengikuti sijil berkenaan berjaya mendapat pekerjaan dalam bidang yang diceburi.

 

"Gabungan bersama syarikat tempatan dan antarabangsa membolehkan graduan SKM mempelajari 70 peratus dalam latihan industri manakala 30 peratus belajar secara teori," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas majlis konvokesyen berkenaan.

 

Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenaan menghadiri majlis konvokesyen berkenaan.

 

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.

Berita Harian X