Ahad, 6 Disember 2015 | 7:34am

Timmy bawa pulang RM25,000


TIMMY Tan mewakili Kongres Tenpin Malaysia (MTBC) beraksi Kejohanan Tenpin Boling Antarabangsa Milo Junior All Star 2015 di Sunway Pyramid. - Foto Hasriyasyah Sabudin

PETALING JAYA: Pemain boling negara, Timmy Tan menamatkan kemarau empat tahun tanpa gelaran apabila menjuarai Kejohanan Tenpin Boling Remaja Antarabangsa Milo All Stars ke-16, semalam.

Timmy yang mewakili Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) menewaskan Muhammad Rafiq Ismail dengan keputusan 2-1 melalui saingan final step-ladder kategori lelaki, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 dan trofi.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu diheret ke pertarungan kalah mati selepas kalah pada set pertama, 245-256 kepada bintang muda negara, Muhammad Rafiq dalam aksi penuh mendebarkan yang berlangsung di Sunway Mega Lanes.

Kebangkitan Timmy pada set penentuan dengan jatuhan 233 pin mengetepikan Muhammad Rafiq, yang sekadar mencatat 227 jatuhan pin untuk berada di tempat kedua.

Sebelum ini, Timmy mara ke final step-ladder selepas menjuarai Terbuka Lelaki akhir dengan 2,475 jatuhan pin.

"Saya tidak pernah meraih kejuaraan remaja ini dan memang saya sangat berpuas hati. Selepas beraksi di Sukan SEA Singapura pada Jun lalu, saya menukar teknik dan strategi. Saya berpuas hati dengan peningkatan prestasi saya.

"Pada peringkat awal permainan, saya menerima tekanan daripada Muhammad Rafiq, namun berjaya bangkit daripada kelekaan untuk bergelar juara. Keputusan ini memberikan saya lebih keyakinan untuk beraksi dalam 'the Masters' hari ini," kata Timmy.

Sementara itu, bagi kategori Terbuka Wanita, Tracy See Wan Zhen dari Singapura menewaskan Nur Dayana Zuhdi, yang mewakili Negeri Sembilan menerusi penentuan kalah mati, 254-224 dan 256-217 jatuhan pin.

Selaku juara, Tracy membawa pulang hadiah wang tunai RM18,000 dan trofi.

Berita Harian X