Ahad, 6 Disember 2015 | 7:00am

Pelajar UUM dahului saingan golf di Glenmarie

SHAH ALAM: Muhammad Afif Muhd Razif mengekalkan status pendahulu semalaman dengan kelebihan tipis satu pukulan selepas pusingan ketiga Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSM) di Kelab Golf & Country Glenmarie, di sini semalam.

Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) itu mencatatkan satu di atas par 73 dengan dua birdie dan tiga bogey untuk mengumpul 212 pukulan selepas tiga pusingan.

Bagaimanapun, Muhammad Afif bakal menghadapi saingan sengit untuk memburu gelaran pada pusingan akhir esok apabila juara bertahan, Galven Kendall Green terus mengasak dengan ketinggalan satu pukulan.

Galven yang juga pemain Selangor berusia 16 tahun itu, membenam eagle pada par lima lubang ke-16 serta tiga birdie dan dua bogey untuk menamatkan saingan pusingan ketiga dengan tiga bawah par 69.

Catatan terendah hari ini membantu Galven mengumpul lima bawah par 213 pukulan selepas tiga pusingan.

"Permainan hari ini tidak begitu baik berbanding semalam. Pada sembilan lubang pertama, pukulan tidak menjadi dan hanya mendapat rentak pada sembilan lubang kedua," kata Muhammad Afif.

Dia mengakui tumpuannya terjejas pada awal saingan berikutan tekanan yang diberi oleh Galven.

Tempat ketiga disandang oleh pemain Kuala Lumpur, Ervin Chang, yang melakukan catatan satu di atas par 71 untuk mengumpul 219 pukulan.

Dalam kategori wanita pula, pemain Selangor, Nur Durriyah Damian memintas pendahulu semalaman, Natasha Andrea Oon dengan kelebihan empat pukulan selepas mencatatkan lima bawah par 67.

Nur Durriyah membenam lima birdie dan satu bogey, sekali gus mendahului saingan dengan 217 pukulan manakala Natasha mengumpul 221 pukulan.

Tempat ketiga dihuni oleh pemain Kuala Lumpur, Winnie Ng Yu Xuan dengan 13 di atas par 229 pukulan.

Juara kategori lelaki akan menerima biasiswa golf bernilai RM40,000 manakala juara wanita akan menerima biasiswa sama bernilai RM30,000.

Keputusan Pusingan Ketiga:

LELAKI:

212 - Muhamad Afif Mohd Razif (UUM) 70-69-73;

213 - Galven Kendall Green (SEL) 66-78-69;

219 - Ervin Chang (KUL) 76-72-71;

220 - Amir Nazrin Jailani (JOH) 74-72-74;

222 - Danial Mohd Sidek (KUL) 75-73-74.

WANITA:

217 - Nur Durriyah Damian (SEL) 74-76-67;

221 - Natasha Andrea Oon (SEL) 73-73-75;

229 - Winnie Ng Yu Xuan (KUL) 79-75-75;

230 - Ashley Lau Jen Wen (SAR) 76-74-80;

231 - Chong Yong (JOH) 78-78-75.

-- BERNAMA

Berita Harian X