Khamis, 3 Disember 2015 | 9:54pm

Galven dahului Cabaran Golf TSM 2015


PENGERUSI TSM Charity Golf, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bergambar bersama peserta selepas merasmikan 'DRB-HICOM TSM Golf Challenge' 2015 di Glenmarie Golf and Country Club hari ini.- Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Bintang golf remaja negara, Galven Kendall Green, membenam 6 bawah par 65 pada hari pertama untuk mendahului Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin (TSM) 2015, yang berlangsung di Kelab Golf dan Country Glenmarie, hari ini.

Juara bertahan berusia 15 tahun itu ternyata berada pada kelas tersendiri apabila jauh meninggalkan Mohd Afif Mohd Razif, yang mencatat 2 bawah par 67 dan Daniel Azizan Durisic serta Mohd Afif Mohd Fathi yang ketinggalan dua pukulan di belakang kedua-dua penghuni tempat kedua itu.

"Sebenarnya, saya tidak menjangka sama sekali mampu melakukan pukulan sebaik ini dan ia sudah pasti memberi tambahan keyakinan buat saya untuk mengharungi baki tiga hari lagi," katanya yang mengetepikan 53 pencabar lain.

Beliau berkata, memulakan aksi satu kumpulan bersama Daniel Mohd Sidek dan Muhamad Muhazim Bakhtiar turut membantunya meningkatkan kualiti pukulannya.

"Muhazim dan Daniel adalah pemain yang bagus, bermain di samping mereka begitu membantu saya," katanya.

Bagi kategori perempuan, Natasha Andrea Oon bangkit pada beberapa lubang terakhir untuk mengatasi Nur Durriyah Darmian serta Nur Syazani Amalia Shahzan, dengan satu pukulan selepas mencatat 1 atas par 72.

Juara edisi lalu, Nur Elliana Ariffin bermula hambar apabila sekadar melakar catatan 7 atas par 78 untuk berada pada kedudukan kesembilan.

Hadiah lumayan pembiayaan pembelajaran bernilai RM50,000 menanti pemenang kategori lelaki, manakala naib juara bakal menerima RM25,000 dan tempat ketiga, RM15,000.

Tiga pemenang utama bagi kategori perempuan pula akan menerima RM40,000, RM20,000 dan RM10,000.

Berita Harian X