Selasa, 1 Disember 2015 | 3:58pm

Negara perlu graduan bijak buat pertimbangan - Rosmah

gn4id:10861206

KUALA LUMPUR: Negara memerlukan graduan yang bijak membuat pertimbangan, faham erti perpaduan serta bertoleransi dan bukannya menjadikan jalanan dan demonstrasi sebagai tempat menyuarakan pendapat dan ketidakpuasan hati.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata disebabkan itu ilmu pengetahuan sangat penting dan ia adalah faktor yang dapat membezakan graduan supaya bertindak lebih rasional dalam membuat pertimbangan.

"Anak-anak muda seperti graduan di hadapan saya ini (graduan PICOMS) adalah kelompok penting yang bakal menjadi penggerak kepada segala usaha pihak kerajaan.

"Atas sebab itulah, ilmu adalah faktor yang membezakan kita. Tanpa ilmu, sudah tentu manusia akan hilang pertimbangan, seterusnya bertindak di luar kewajaran dan rasional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Konvokesyen Ketiga Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Rosmah berkata, hanya dengan ilmu pengetahuan, negara dapat melahirkan anak muda yang berupaya untuk memimpin seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati dan disegani.

Justeru, beliau meminta PICOMS menyediakan landasan kepada pelajar dan graduan bukan hanya tempat untuk mengasuh minda anak-anak muda tetapi juga harus diselitkan dengan nilai-nilai murni ke arah penjanaan generasi yang berakhlak dan mempunyai keperibadian yang tinggi.

"Ini kerana, dalam negara menuju ke status negara maju, apa yang penting dalam pembangunan negara adalah pembangunan modal insan dan potensi diri.

"Oleh itu, anak muda generasi 1Malaysia mestilah berwawasan, berdaya saing, cekal, bekerja keras, kreatif, berakhlak mulia serta gigih berusaha mencungkil potensi dan mengembangkan keupayaan diri," katanya.

Sementara itu, kata Rosmah, kewujudan institusi pengajian tinggi yang semakin banyak sudah tentu mewujudkan persaingan.

Oleh itu, katanya, warga PICOMS perlu meningkatkan produktiviti untuk melonjakkan PICOMS ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan hasrat menjadikan institusi itu sebagai Kolej Universiti menjelang awal tahun hadapan.

Sebelum itu, Rosmah menyampaikan penganugerahan diploma kepada 300 graduan PICOMS pelbagai bidang termasuk Pingat Emas Perdana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada graduan Diploma Sains Perubatan, Nina Shahira Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi PICOMS, Datuk Mahamad Zubir Sheikh Saad.

Seramai 1,029 graduan menerima diploma dalam pelbagai bidang termasuk Sains Perubatan, Sains Kejururawatan, Farmasi dan Kesihatan Persekitaran pada majlis itu.

- BERNAMA

Berita Harian X