Selasa, 1 Disember 2015 | 10:06am

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR: Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka rendah hari ini, dipengaruhi oleh Public Bank dan Petronas Gas. Pada 9.10 pagi, ia 2.84 mata lebih rendah pada 1,669.32, selepas dibuka 1.87 mata lebih rendah pada 1,670.29.

Public Bank susut 18 sen kepada RM18.20 dan Petronas Gas susut 30 sen kepada RM22.62. Kedua-dua kaunter menyumbang 2.2 mata kepada indeks.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, JF Apex Securities Bhd menjangka FBM KLCI kekal tertekan dan lemah dengan paras sokongan pada 1,645 mata berikutan prestasi kurang memberangsangkan daripada pasaran di Amerika Syarikat dan Eropah.

"Pasaran AS ditutup rendah pada hari terakhir bulan November selepas jualan rumah dan Indeks Pengurus Pembelian Chicago di bawah paras jangkaan," katanya.

Sementara itu, saham Eropah ditutup bercampur-campur dalam keadaan harga minyak yang lebih tinggi dan jangkaan rangsangan apabila Bank Pusat Eropah bermesyuarat Khamis.

Antara saham berwajaran tinggi, Petronas Chemicals menokok lima sen kepada RM6.79, IHH Healthcare meningkat enam sen kepada RM6.40, Maybank dan TNB tidak berubah masing-masing pada RM8.32 dan RM13.36, manakala Axiata turun dua sen kepada RM6.11.

Bagi saham aktif, 1 Utopia menokok setengah sen kepada lima sen, Hibiscus Petroleum menokok 1.5 sen kepada 25 sen, manakala Instacom, Globaltec dan Priceworth Antarabangsa tidak berubah masing-masing pada 32 sen, 5.5 sen dan 15.5 sen.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 143-127, dengan 155 kaunter tidak berubah, 1,354 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 214.710.000 saham bernilai RM 43.12 juta.

Pada papan markah, Indeks FBM Emas lemah 12.53 mata kepada 11,613.44, Indeks FBMT100 merosot 11.99 mata kepada 11,300.25 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 15.73 mata kepada 12,522.6. FBM 70 menokok 3.44 mata kepada 12,881.18 dan FBM Ace meningkat 6.75 mata kepada 6,550.14.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 37.27 mata kepada 14,063.55, Indeks Perladangan susut 39.98 mata untuk 7,556.72 dan Indeks Perusahaan dipotong 13.02 mata kepada 3,274.26.

Berita Harian X