Sabtu, 28 November 2015 | 12:15pm

Facebook beri cuti bergaji jaga bayi


KETUA Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg.

SAN FRANCISCO: Kurang seminggu selepas Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg mengumumkan cuti dua bulan menjaga isteri bersalin, syarikat gergasi sosial media itu memperluaskan dasar cuti keluarga bersalin kepada semua kakitangan tetapnya di luar Amerika Syarikat.

Dasar itu memberikan empat bulan cuti bergaji (PTO) dan akan ditawarkan kepada semua kakitangan yang baharu memperoleh bayi meliputi semua jantina dan tempat mereka berkerja bermula 1 Januari depan.

Ayah baharu dan kakitangan boleh mengambil cuti pada bila-bila masa atau dalam tempoh setahun kelahiran bayi mereka, demikian menurut pengurus Jabatan Sumber Manusia, Lori Matloff Goler, dalam posting terbaharunya di Facebook, hari ini.

Facebook ketika ini hanya menawarkan cuti bergaji sehingga empat bulan kepada kakitangannya yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

"Kami mahu mereka semua menikmatinya, tidak kira peringkat kehidupan dan kami mahu mengutamakan tempat bekerja yang sesuai untuk mereka yang berkeluarga.

"Bahagian paling ialah menawarkan mereka cuti bergaji sempena mendapat bayi atau cuti keibubapaan," katanya.

Goler berkata, dasar baharu itu secara asasnya dapat membantu seseorang ayah atau pekerja di luar Amerika dan ia tidak mengubah kepada cuti bersalin kepada wanita yang dinikmati semua pekerjanya di seluruh dunia.

Minggu lalu, Zuckerberg berkata dia akan mengambil cuti dua bulan selepas kelahiran bayi perempuannya.

Julai lalu, Zuckerberg mengumumkan dia dan isterinya, Priscilla Chan, bakal memperoleh bayi perempuan, namun tidak memberitahu bila dijadualkan tarikh kelahiran bayi itu.

Pengumumannya itu dilihat bagaimana pengurusan dan pegawai tertinggi syarikat berteknologi tinggi di Lembah Silikon kini mementingkan masa bersama keluarga.

Kebanyakan pekerja dalam industri berteknologi tinggi tidak mahu mengambil kesempatan menggunakan faedah pekerjaan itu kerana bimbang tercicir dalam pekerjaan atau kenaikan pangkat. - Reuters

Berita Harian X