Sabtu, 28 November 2015 | 1:46am

Penduduk rugi ternakan ikan dalam sangkar mati

RUGI... Penternak ikan dalam sangkar di Kampung Mumiang kerugian hampir RM100,000 disebabkan banyak ikan yang mati. - Foto BERNAMA
RUGI... Penternak ikan dalam sangkar di Kampung Mumiang kerugian hampir RM100,000 disebabkan banyak ikan yang mati. - Foto BERNAMA

KINABATANGAN: Kira-kira 50 keluarga penduduk Kampung Mumiang di sini, hilang punca pendapatan apabila tujuh tan ikan yang diternak dalam 50 sangkar mati dipercayai akibat pencemaran sungai.

Keadaan itu disedari sejak seminggu lalu menyebabkan penduduk yang bergantung sepenuhnya terhadap sumber rezeki sebagai nelayan, kerugian kira-kira RM100,000.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Mumiang, Mada Hussin, berkata penduduk terkejut apabila ikan seperti kerapu, jenahak dan pelbagai jenis ikan lain, ditemui terapung dalam sangkar berkenaan.

Katanya, penduduk berada dalam dilema dan tidak dapat melakukan aktiviti menangkap ikan di sungai berhampiran susulan bekalan ikan semakin berkurangan.

"Kami simpan ikan untuk kegunaan sendiri selain dijual, namun kini segala-galanya hilang. Kali terakhir kami kehilangan ikan dalam jumlah yang besar sebegini kira-kira empat tahun lalu," katanya.

Kampung terbabit terletak di muara Sungai Kinabatangan, tapak ramsar terbesar di Malaysia dengan kira-kira satu jam perjalanan menaiki bot dari Sandakan.

Mada berkata, perkara itu sudah dilaporkan kepada agensi berkaitan dan kini menunggu keputusan daripada sampel yang diambil oleh Jabatan Perikanan.

Katanya, mereka percaya kejadian itu disebabkan pembuangan sisa kilang daripada ladang kelapa sawit berhampiran ke Sungai Malangkin, iaitu anak Sungai Kinabatangan.

"Selain dibayar pampasan, kami berharap Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perhutanan Sabah dapat mendedahkan laporan berhubungan siasatan mereka," katanya.

Pengarah Forever Sabah, Cynthia Ong, berkata kejadian seperti itu biasanya dikaitkan dengan penggunaan baja, kesan kilang kelapa sawit, tanah gambut atau nutrien lain yang terganggu sekali gus memusnahkan hidupan marin.

"Kajian di Malaysia dan seluruh dunia menunjukkan perikanan di kawasan bakau yang subur mampu menghasilkan ribuan ringgit setiap hektar kepada ekonomi negeri ini. Pengurusan tanah yang lemah tidak sepatutnya menyebabkan pihak lain menanggung kerugian," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman, sudah mengadukan perkara berkenaan kepada pihak yang berkaitan.

Kelmarin, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun, ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, berkata Jabatan Perikanan telah menjalankan siasatan di lokasi terbabit dan biasanya Jabatan Kimia mengambil masa sebulan untuk menyiapkan analisis kimia bagi mengetahui punca kematian ikan terbabit.

Berita Harian X