Jumaat, 27 November 2015 | 10:56pm

Sarawak berpotensi jadi jelapang padi negara

AHMAD Shabery (tiga dari kiri) melancarkan buku 'Fish Supply-Demand LKIM' pada Majlis Perasmian Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2015 di Kuching, malam ini. - Foto Che Rani Che Din
AHMAD Shabery (tiga dari kiri) melancarkan buku 'Fish Supply-Demand LKIM' pada Majlis Perasmian Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2015 di Kuching, malam ini. - Foto Che Rani Che Din

KUCHING: Sarawak berpotensi menjadi sandaran untuk dibangunkan sebagai jelapang padi baru negara, bagi menggantikan Kedah dan Perak.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kawasan tanaman padi di dua negeri Semenanjung itu kini semakin mengecil berikutan dibangunkan sebagai kawasan perumahan, perindustrian selain ditukar dengan tanaman kelapa sawit.

Berikutan itu katanya, Sarawak dilihat berpotensi besar untuk dijadikan sandaran sebagai kawasan jelapang padi baharu untuk menampung pengeluaran beras negara.

"Sarawak mempunyai tanah yang sangat luas yang amat sesuai untuk kita bangunkan sebagai kawasan pengeluaran makanan khususnya penanaman padi.

"Apabila tanah di Sarawak ini dijadikan jelapang padi, kita perlu mengusahakannya dengan padi variati terbaik seterusnya menetapkan sasaran baharu pula untuk menjadikan negeri ini sebagai pengeksport beras pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2015, di sini, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta dua Timbalan Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Nogeh Gumbek. Seramai 522 peserta kalangan peladang, penternak dan nelayan dari seluruh negara menyertai konvensyen yang diadakan selama tiga hari bermula Khamis.

Ahmad Shabery berkata, langkah menjadikan Sarawak sebagai kawasan baharu penanaman padi itu wajar, kerana negara jiran, Indonesia kini sedang giat membuka jelapang padi baharu selepas kawasan penanaman di Jawa semakin mengecil.

"Indonesia akan membuka jelapang padi di Irian Jaya, sebuah kawasan yang besar dengan jumlah penduduk yang kecil.

"Ini juga perlu kita laksanakan di negara kita dengan usaha bersungguh-sungguh dilaksanakan untuk memastikan kita bukan sahaja mampu mengeluarkan makanan sendiri untuk mengurangkan kebergantungan kepada makanan import, tetapi juga sebagai pengeksport," katanya. 

Pada majlis itu, Ahmad Shabery turut melancarkan buku 'Fish Supply-Demand LKIM' yang mengandungi hasil kajian penawaran dan permintaan industri perikanan negara.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X